Prestasi terburuk Presiden Petronas cabaran Zulkiflee

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Prestasi terburuk Presiden Petronas kini, adalah cabaran besar kepada Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin untuk mengembalikan Petronas kepada kegemilangan.

Sehubungan itu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengucapkan tahniah di atas pelantikan Zulkiflee sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Petronas  berkuatkuasa  1 April ini.  

"Berita perlantikan ini nampaknya telah diterima dengan baik oleh warga Petronas, para pemain industri dan pelabur khususnya apabila prestasi saham nasional dan saham Petronas sendiri telah mencatatkan kenaikan yang mendadak kelmarin," ujar Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Nizam Mahshar dalam satu kenyataan.

Katanya, Zulkiflee sebagai orang lama dalam Petronas sememangnya memiliki kelayakan, pengalaman dan jatidiri untuk memimpin syarikat gergasi ini dan beliau semestinya sudah masak dengan keperluan serta penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memacu Petronas.  

"Kita berharap beliau tegas dalam melaksanakan agenda perubahan, pada masa yang sama tidak akan mengabaikan tanggungjawab sosial dan nasional membangunkan kapasiti tempatan sebagai pemain utama minyak dan gas," katanya.

Menruutnya, Petronas pada lima tahun terakhirnya telah membelanjakan lebih RM300 bilion untuk pembangunan, tetapi kita tidak melihat jumlah yang sebegitu besar mengalir ke tangan anak watan, sebaliknya lebih banyak menguntungkan syarikat-syarikat transnasional.

Katanya lagi, MTEM melihat dengan pengurangan harga minyak global dan prestasi terburuk Presiden Petronas kini, adalah cabaran besar kepada Zulkiflee untuk mengembalikan Petronas kepada kegemilangan sebelum ini malahan melonjak cemerlang ke hadapan.

Walau bagaimanapun, ujar beliau MTEM percaya dengan kekuatan Presiden Petronas baharu dengan kepimpinan, kepakaran, keikhlasan dan inovasi dalam kalangan pegawai tempatan lama dan baru, mampu melonjak Petronas ke tahap yang lebih tinggi.

"Petronas sebenarnya begitu dekat di hati dan sanubari setiap rakyat Malaysia dan mereka berhak untuk mendapat nikmat daripada khazanah yang telah anugerahkan ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 11/2/2015

Share on Myspace