Makan malam banjir rakam simpati terhadap Anwar

| .

PETALING JAYA: Sumbangan kewangan masih diperlukan bagi menghadapi fasa pemulihan kehidupan rakyat Kelantan selepas banjir besar yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS berasa bertanggungjawab untuk sama-sama membantu rakyat Kelantan membina semula kehidupan mereka yang terjejas teruk.

"Sewaktu banjir, berduyun-duyun bantuan tiba ke Kelantan daripada pelbagai pihak. Tapi selepas banjir surut, bantuan pun surut.

"Oleh itu PAS berasa bertanggungjawab untuk terus menggerakkan tabung sumbangan bagi meringankan penderitaaan rakyat Kelantan," kata beliau dalam Majlis Makan Malam Tabung Pemulihan Bencana Banjir di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Justeru kata beliau, PAS menubuhkan Jawatankuasa Tabung Pemulihan Bencana Banjir yang dipengerusikan beliau sendiri bagi mengutip sumbangan secara berterusan untuk disalurkan kepada rakyat Kelantan.

Salah satu caranya adalah dengan mengadakan majlis makan malam, malam tadi bagi mengutip dana di samping meraikan sukarelawan sama ada persendirian atau berkumpulan yang membantu rakyat Kelantan semasa dan selepas banjir.

Majlis makan malam tersebut berjaya mengumpul lebih RM100,000 dalam bentuk cek dan wang tunai.

Sementara itu, Mohamad Sabu turut merakam ucapan takziah dan simpati kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan semalam berhubung kes liwat.

"Hari ini juga kita menerima berita sedih apabila Datuk Seri Anwar diputuskan bersalah. Kita bersimpati terhadap beliau dan Datin Wan Azizah dan PKR yang kehilangan pemimpin mereka. Tetapi kita kena terus berjuang demi menegakkan keadilan di negara ini," katanya.

Hadir sama malam tadi ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakop yang turut memberikan penerangan mengenai gerak kerja yang sedang dan akan dilakukan kerajaan negeri dalam masa pemulihan banjir.

Empat pemuda dari Manik Urai yang telah mengorbankan nyawa membantu mangsa banjir turut diberi pingat penghargaan malam tadi.

Antara yang NGO yang hadir malam tadi ialah Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan), Yayasan Amal Malaysia dan Persatuan Penganut Buddha Tzu-Chi Merit Malaysia.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang juga Pengerusi Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (MEDM), serta Datuk Husam Musa, setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali, ketua penerangan, Datuk Mahfuz omar antara pimpinan utama yang hadir memeriahkan majlis.

Ruang pameran NGO-NGO yang terlibat turut dibuka di samping gambar-gambar yang merakam peristiwa banjir dipamerkan untuk dijual bagi mengisi tabung bencana banjir. - HARAKAHDAILY 11/2/2015

Share on Myspace