Inilah masanya pemimpin Pakatan rapatkan saf

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat mengutuk keputusan Mahkamah Persekutuan menolak Rayuan Datuk Seri Anwar, Ketua Pembangkang Malaysia seterusnya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas beliau.

"Buat kesekian kalinya sistem perundangan di Malaysia hilang kredibilitinya," tegas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook dalam satu kenyataan.

Bagi mereka, kes itu akan menambahkan lagi senarai bukti kukuh segala jenis penganiayaan dan tekanan kepada pembangkang di Malaysia.

Menurut mereka, Majlis Setiausaha menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tetap kukuh dan akan meneruskan perjuangan rakyat melawan kepincangan sistem dalam negara ini.

"Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan parti pembangkang paling kuat dalam sejarah Malaysia ini akan terus dipertahankan," ujar mereka.

Justeru, mereka yakin sebarang perselisihan yang timbul akan segera diatasi demi kelangsungan perjuangan rakyat.

Mereka mereka lagi, inilah masanya pemimpin Pakatan Rakyat di semua peringkat merapatkan saf berdepan dengan cabaran semasa negara.

Majlis Setiausaha yang bermesyuarat semalam telah membincangkan beberapa program penerangan kepada rakyat dan akan membentangkannya dalam Majlis Pimpinan akan datang pada petang Jumaat ini.

Mesyuarat kali ini akan dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - HARAKAHDAILY 11/2/2015


Share on Myspace