Kak Wan tidak keseorangan - Siti Zailah

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak keseorangan melalui kesedihan kedua yang berulang dalam keluarga mereka, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.

Beliau berkata, rakyat bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas Ketua Pembangkang.

“Bagaimanapun kita yakin rakyat sentiasa bersama Datuk Seri dan Kak Wan merasai kesedihan di atas hukuman yang menimpa,” katanya di sini.

Semalam Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes liwat, dengan mengekalkan hukuman lima tahun penjara terhadap beliau.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, Anwar boleh dipenjarakan, namun mereka tidak boleh memenjarakan semangat rakyat dan perjuangan mereka.

“Sebenarnya kami sudah menduga sejak awal lagi usaha memenjarakan semula Anwar semata-mata bagi menghalang kemaraan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Oleh itu beliau merakam ucapan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri terbabit. - HARAKAHDAILY 11/2/2015

Share on Myspace