Perjuangan untuk bebaskan ayahanda kami

NURUL NUHA ANWAR | .

BAGI pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan-rakan serta para penyokong di dalam dan dari luar negara. (Foto atas oleh SelangorKini)

Semalam merupakan sebuah hari yang penuh dengan ujian. Harapan kami untuk tertegaknya keadilan musnah sama sekali. Setelah 17 tahun bergelumang dengan tekanan, fitnah, gangguan-gangguan dan penganiayaan berakhir dengan sebuah lagi hukuman penjara.

Serangan demi serangan dilakukan untuk menamatkan karier politik ayahanda yang kami cintai. Penganiayaan jahat seperti ini ke atas ayahanda kami tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita ini.

Dalam tempoh 17 tahun yang lepas, ayahanda kami, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan kesungguhan serta erti keberanian, perjuangan, sifat belas kasihan dan yang paling utama, erti kasih sayang. Dialah contoh yang terbaik seorang yang berjuang menongkah arus melawan kezaliman.

Nilai-nilai ini akan kekal bersama kami sehingga ke akhir hayat. Sebagai anak-anak, kami perlu mengambil alih, dan meneruskan perjuangan, harapan serta cita-cita ayahanda kami.

Tujuh belas tahun yang lepas merupakan sebuah tempoh yang lama. Kita tidak tahu berapa lama lagikah perjuangan ini akan berterusan, tetapi kami akan bersama-sama dengan ayahanda kami sehingga nyawa berada di hujung badan. Kami berharap sokongan daripada rakyat Malaysia akan terus berkembang dalam perjuangan menuntut sebuah Malaysia yang adil bagi rakyat.

Saya ingin mengakhirkan kenyataan ini dengan petikan daripada kenyataan bapa saya:
“Perjalanan ke penjara ini, saya anggap sebagai pengorbanan untuk rakyat Malaysia. Saya telah berjuang seumur hidup untuk rakyat - dan untuk rakyatlah saya sanggup untuk dipenjara atau akibat-akibat lain. Perjuangan ini akan diteruskan, dimana jua saya dihantar dan apa jua yang dilakukan kepada saya.”

“March to Freedom” adalah kesinambungan perjuangan ini. Perjuangan untuk membebaskan ayahanda kami, dan memberi suara kepada rakyat yang menghadapi kezaliman di Malaysia.

Marilah bersama kami dalam perjuangan ini - sama-sama kita hentikan kezaliman.

11 FEBRUARI 2015

Share on Myspace