Hakim tinggalkan kamar masa Anwar berucap, pertama kali dalam sejarah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja menghina khidmat patriotik Anwar selama 47 tahun kepada negara dalam memperjuangkan keadilan, kebebasan, maruah insani dan pembinaan negara-bangsa Malaysia, ia juga merupakan suatu perbuatan yang merugikan reputasi antarabangsa negara dan juga Wawasan 2020 di mana Malaysia diharapkan mencapai status negara maju dalam masa lima tahun lagi.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, akibat keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, Malaysia sekali lagi menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa bersabit persoalan kedaulatan undang-undang, demokrasi dan hak asasi manusia - tiada permulaan yang lebih buruk buat Malaysia pada tahun ini, sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB dan sebagai negara Pengerusi Asean.

Menurutnya, Amerika Syarikat, United Kingdom, kerajaan Kanada dan Australia, Kesatuan Eropah dan juga media antarabangsa serta badan hak asasi manusia semuanya telah menyatakan amaran terhadap keadaan Malaysia yang kian terjerumus menjadi sebuah negara ‘samseng’.

Tambahnya, jurucakap Majlis Keselamatan Dalam Negeri White House Bernadette Meehan berkata bahawa Amerika Syarikat amat runsing dengan pendakwaan Anwar dan resah dengan perihal kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Jabatan Luar dan Komanwel United Kingdom berkata bahawa selain daripada integriti dan kedaulatan undang-undang, Malaysia mestilah menghayati kesederhanaan dan toleransi jika mahu berjaya.

Suruhanjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur menyifatkan penghakiman terhadap Anwar tiba pada saat Kanada dan negara-negara lain telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai pendakwaan terpilih, termasuk Akta Hasutan 1948.

Malah, katanya editorial Singapore Business Time pun menulis bahawa keyakinan awam terhadap badan kehakiman telah menjunam sehinggakan sedikit sekali yang benar-benar terkejut dengan hasil keputusan semalam.

Malah, kenyataan yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, beberapa minit sahaja selepas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria mengumumkan keputusan sebulat suara terhadap rayuan Anwar, tetapi sebelum hukuman dijatuhkan; hanya menambah kepada saya wasangka dalam dan luar negara terhadap sama ada wujud kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang yang adil.

"Ini mengundang ucapan Anwar dari kandang tertuduh terhadap para hakim, mendakwa mereka telah menggadaikan jiwa raga mereka kepada iblis dan tunduk kepada arahan tuan politik, dan dalam proses tersebut bersubahat membunuh kebebasan dan integriti badan kehakiman," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, kata Lim mengakibatkan kelima-lima hakim Mahkamah Persekutuan keluar meninggalkan kamar mahkamah ketika Anwar masih berucap, pertama kali dalam sejarah 58 tahun badan kehakiman Malaya/Malaysia.

Tambahnya, tidak hairan kenapa Presiden Majlis Peguam Chistopher Leong turut terpanggil memberi komen tentang kejanggalan yang begitu terserlah dalam keputusan kes liwat Anwar memberi sebab kepada timbulnya keraguan bahawa kes Anwar adalah sebuah pendakwaan politik berbanding pendakwaan jenayah.

Sebagai contoh, ujar beliau kenapa si pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak didakwa meskipun pendakwaan terhadap ketua pembangkang dibuat di bawah pertuduhan hubungan seks luar tabii secara konsensual memandangkan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa faktor ‘kerelaan’ bukanlah keperluan bagi kesalahan tersebut.

Tambahan pula, katanya jarang sekali pihak pendakwaan menggunakan undang-undang yang menjenayahkan ‘seks luar tabii’ yang melibatkan kedua-dua seks oral dan liwat, dengan Anwar didakwa dan disabitkan sebanyak dua kali untuk kesalahan seksual antara dua orang dewasa sedangkan pertuduhan tidak mengandungi elemen paksaan.

"Hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar akan tamat sebaik sahaja beliau berusia 72 tahun dan kemudian hilang kelayakan menjawat jawatan melalui pilihan raya untuk tempoh lima tahun selepas dibebaskan, kecualilah jika kerajaan Umno/BN ditumbangkan pada PRU14," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 11/2/2015

Share on Myspace