Dana 1MDB biayai syarikat filem milik Riza Aziz?

DR ROSLI YAAKOP | .

Riza Aziz (kiri) dan jutawan Low Taek Jho (kanan).

DALAM sebuah artikel bertajuk Well Connected at Home, Young Malaysia Has an Appetite for New York yang disiarkan dalam akHbar The New York Times (8 Februari 2015) penulisnya, Louise Story dan Stephanie Sual mendedahkan, antara lain, urusniaga pembelian kodominium mewah oleh Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, menggunakan dana yang tidak didedahkan sumbernya. Perlu dinyatakan bahawa peraturan berkaitan urusniaga hartanah di New York memang tidak menghendaki pembeli mendedahkan sumber kewangan.

Urusniaga berkenaan adalah seperti berikut:

Pada awal tahun 2010, seorang anak muda Malaysia yang merupakan seorang pakar kewangan bernama Low Taek Jho (nama timangan Jho Lo) telah membeli se unit apartmen di Park Laurel Condominium di Manahattan, New York pada harga USD23.98 juta. Pemilikan unit itu adalah di atas nama sebuah syarikat kosong (shell company) milik beliau sepenuhnya. Tiga tahun kemudian, unit itu dijual kepada sebuah syarikat kosong yang lain yang dimiliki sepenuhnya oleh Riza Aziz, yang profesionnya dikatakan sebagai seorang pembikin filem.

Sekitar masa yang sama, Jho Lo membeli pula sebuah mansion di Beverly Hills, Hollywood pada harga USD17.5 juta dan kemudian menjualnya kepada Riza Aziz.

Kemudian, pada awal tahun 2011, Jho Lo membeli seunit penthouse yang asalnya milik pasangan Jay Z dan Beyonce di tingkat 76, Time Warner Center Condominiums di New York pada harga USD30.55 juta dan mendakwa beliau membelinya bagi pihak pelabur-pelabur. Beliau kemudian menyatakan bahawa unit itu dibeli bukan bagi pihak pelabur tetapi adalah milik dana amanah keluarga beliau. Penyiasatan oleh penulis kemudian mendapati unit itu berdaftar di bawah nama beliau sendiri.

Selain daripada urusniaga di atas, Jho Lo juga dikhabarkan membantu Riza Aziz mengurus sebuah syarikat perfileman di Hollywood. Setakat ini, Riza Aziz telah membikin filem bertajuk The Wolf of Wall Street dan Dumber and Dumber To. Dikatakan filem pertama itu penuh dengan unsur-unsur lucah.

Pembelian unit hartanah bertaraf mewah oleh Jho Lo menimbulkan pertanyaan: Di manakah beliau memperolehi wang yang begitu besar jumlahnya?

Jawapan biasa yang terkeluar dari mulut beliau ialah saya membelinya "bagi pihak pelabur-pelebur" dan kadang kala beliau berkata, "saya membelinya bagi pihak kawan-kawan".

Penulis rencana percaya bahawa kemewahannya itu ada kena mengena dengan hubungan beliau yang begitu intim dengan ahli keluarga Perdana Menteri Malaysia. Hubungan itu boleh dikesan sejak beliau (Jho Lo) mula-mula belajar di London. Semasa belajar di London, Jho Lo berkawan rapat dengan Riza Aziz yang ketika itu belajar di London School of Economics. Beliau juga kenal rapat dengan ibu Riza, Rosmah Mansor, yang kerap menginap - kadang-kadang sampai berbulan-bulan - di sebuah apartmen di London. Hubungan beliau dengan keluarga Perdana Menteri sehingga ke hari ini tidak pernah renggang.

Dikhabarkan beliau memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan membawa pelaburan dari Timur Tengah ke Malaysia dan yang terkini beliau membantu dalam penubuhan dana daulat milik kerajaan Malaysia yang majlis penasihatnya dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia. Jho Lo terus memberi nasihat kepada dana daulat berkenaan, 1MDB.

Khabarnya, yuran yang diperoleh dari consultancy and advisory service itulah yang menjadi sumber kekayaan beliau.

Di mana pula Riza Aziz memperoleh dana untuk membeli hartanah dari Jho Low dan untuk bisnes perfileman beliau? Beliau mendakwa bahawa beliau memang seorang yang sudah sedia kaya tetapi apabila ditanya bagaimana beliau membina kekayaan itu, beliau enggan menjawab.

Dalam artikel yang disiarkan oleh TNYT seperti yang disebutkan di atas, Riza Aziz dilaporkan pernah menyebut bahawa biaya untuk pembikinan filem datangnya dari soverign wealth. Hal ini disebut oleh beliau ketika menemuduga seorang calon yang bakal bekerja dengan syarikat perfileman milik beliau, Red Granite Pictures. Dua orang lain yang turut mendengar perbualan itu telah mendedahkan perkara ini. Yang dimaksudkan dengan soverign wealth itu ialah "1MDB".

Satu sumber yang lain pula meyatakan sumber biaya itu datang dari a backer in Malaysia dan orang itu kemudian dikenal pasti sebagai Jho Lo. Maklumat yang terakhir ialah biaya untuk syarikat filem Red Granite Pictures datang dari Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny, Ketua Pegawai Eksekutif Aabar Investments, sebuah syarikat milik kerajaan Abu Dhabi.

Persoalannya, siapakah yang sebenarnya membiayai syarikat Red Granite Pictures milik Riza Aziz itu? - HARAKAHDAILY 12/2/2015

Untuk maklumat lanjut, sila ikuti analisis penuh dalam akhbar Harakah akan datang.

Share on Myspace