Anwar pesan Selangor perlu terus maju ke hadapan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pesanan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Selangor perlu terus maju ke hadapan akan dijadikan pegangan dalam urusan pentadbiran di negeri itu.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya akan terus memastikan sistem penyampaian dan kualiti kerja dilakukan sebaik mungkin bagi mencapai kemajuan yang positif.

“Kita harus bergerak ke hadapan, sebab itu pesanan Anwar dua hari sebelum (dipenjara) supaya Selangor terus maju dan memastikan sistem penyampaian serta kerja kita diteruskan.

“Hari ini terbukti bagaimana pelabur asing segera berminat untuk terus melabur di Selangor dan ia menunjukkan kemajuan yang cukup positif,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Upacara Menandatangani Perjanjian Antara Perspektif Masa Sdn. Bhd. & China Railway Engineering Sdn. Bhd. dan Upacara Menandatangani Perjanjian Pinjaman Antara MBSB & CREC di Subang Jaya, semalam.

Timbalan Presiden PKR itu menambah Anwar turut memberikan pesanan kepada pemimpin dan anggota PKR supaya meneruskan perjuangan dan tindak gundah terhadap kezaliman yang berlaku terhadapnya.

“Ini sebenarnya memberikan dorongan dan rangsangan kepada pimpinan bahawa kalau beliau boleh bersedia untuk dipenjarakan, maka sudah tentu kami di luar ini perlu memainkan peranan lebih besar untuk meneruskan perjuangan.

“Malah perkara ini disepakati semua pihak dan malam tadi kita ada mesyuarat tergempar PKR meneliti beberapa langkah yang akan diambil,” katanya.

 

Share on Myspace