Tarif elektrif turun, harga barang bagaimana?

| .

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa bertindak serius memantau harga barang supaya diturunkan selari dengan penurunan tarif elektrik pada Mac nanti.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, gesaan perlu dibuat ke atas kerajaan kerana walaupun harga minyak turun beberapa bulan lalu namun harga barang tetap tidak berubah.

"Petrol dan diesel dah turun tetapi barang-barang yang menggunakan bahan api seperti ini masih kekal harganya.

"Jangan sekadar kerajaan memuaskan hati rakyat, melegakan rakyat dengan penurunan tarif elektrik tetapi harga barang masih tinggi," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ekoran penurunan tarif elektrik ini katanya, kerajaan perlu memperluas kawalan harga barang bukan setakat mengawal harga barang di pasar-pasar tani seperti bayam, kangkung, dan taugeh sahaja.

Beliau turut menyarankan kerajaan sebagai orang pertama menurunkan harga barang kawalan terlebih dahulu sebagai galakan kepada peniaga-peniaga lain agar turut menurunkan harga jualan mereka.

Justeru beliau mengalu-alukan usaha menurunkan tarif elektrik yang menjadi salah satu bebanan utama kepada rakyat ketika ini namun kerajaan harus mengambil langkah pengawasan dan penyeliaan kenaikan harga barang.

"Kita dah lama tuntut tarif elektrik ini diturunkan. Kita harap dengan penurunan ini akan memberi kesan penurunan harga barang," katanya.

Semalam, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan akan mengurangkan tarif sebanyak 2.25 sen per jam kilowatt (kwh) bermula 1 Mac sehingga 30 Jun 2015, tarif baharu tersebut akan berkurangan daripada 38.53 sen kepada 36.28 sen.

Pengumuman penurunan tarif elektrik disampaikan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) ekoran berlaku penurunan dalam harga minyak di pasaran dunia. - HARAKAHDAILY 12/2/2015

Share on Myspace