Pengulas sukan Hasbullah Awang meninggal dunia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengulas sukan terkenal tanah air, Datuk Hasbullah Awang telah meninggal dunia selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara tengah hari ini, lapor Astro Awani.

Beliau yang betugas sebagai pengulas sukan bagi rangkaian Astro Arena sejak Januari 2014, menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan di fasiliti perubatan tesebut sejak minggu lalu.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Shah Alam pada jam 3 petang ini untuk disemadikan.

Hasbullah telah berkecimpung dalam dunia pengacaraan sejak 1976 sebagai juruhebah radio di RTM Kuantan dan kemudiannya berhijrah ke TV3 pada tahun 1992.

Kenangan manis beliau sebagai pengulas adalah ketika Malaysia menjadi juara Piala Thomas, 1992 mengalahkan pasukan negara jiran, Indonesia 3-2.

Beliau dikenali sebagai pengulas untuk acara-acara sukan tempatan mahupun antarabangsa.  

Populariti beliau memuncak ketika zaman bola sepak Malaysia memasuki era Semi-Pro pada awal 1990-an.

Beliau dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ke-80 pada 2010.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan yang amat dirasai bukan sahaja oleh keluarga beliau, malahan oleh seluruh peminat sukan tanah air," ujar Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan DPPWP, Mohd Faizu Othman.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang pengulas sukan tersohor sebaris namanya dengan Datuk Abdul Rahim Razali.

Tambah beliau, ulasan sukan terutamanya bola sepak dan badminton amat sinonim dengan Allahyarham.

Bahkan, ujarnya Allahyarham memiliki gaya yang tersendiri, suara dan intonasi yang unik yang tidak ada pada pengulas sukan yang lain.

"Inilah kehebatan yang dimiliki oleh Allahyarham yang menjadikan seluruh peminat sukan tidak jemu mendengar ulasan daripada Allahyarham," katanya.

Apa yang lebih menarik, kata beliau rata-rata generasi muda peminat sukan membesar dengan ulasan-ulasan yang dibuat oleh Allahyarham.

Namun kini, ujar beliau tiada lagi ulasan-ulasan yang mencuit hati, tiada lagi suara emas berkumandang pada setiap acara sukan, yang ada kini hanyalah kenangan dan memori yang tidak akan diluput zaman.

"Semoga Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

"DPPWP mendoakan agar beliau diampunkan Allah SWT dan berada di dalam lindungan kasih dan sayang-Nya," ujarnya. - HARAKAHDAILY 12/2/2015

Share on Myspace