Anwar hilang kelayakan MP selepas 14 hari disabitkan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuat kuasa apabila habis tempoh 14 hari dari tarikh beliau disabitkan dan dihukum, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata ia selaras dengan perenggan (a) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

"Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat mengambil maklum akan penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 yang mengekalkan hukuman pemenjaraan selama lima tahun sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan terhadap YB Permatang Pauh atas kesalahan jenayah meliwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

"Merujuk kepada penghakiman tersebut, kehilangan kelayakan YB Permatang Pauh sebagai ahli Parlimen hendaklah dibuat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Namun, katanya sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuat kuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Pandikar Amin berkata beliau hanya boleh mengemukakan pemberitahuan mengenai kekosongan kerusi parlimen itu sebaik sahaja kehilangan kelayakan Anwar sebagai Anggota Parlimen mula berkuat kuasa mengikut Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Keputusan itu disampaikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim.

Ketua Pembangkang itu kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor. - Bernama

Share on Myspace