Indeks Syariah: Konsep dan praktis mesti seiring

SALMIYAH HARUN | .

 

KUALA LUMPUR: Indeks Syariah Malaysia yang dilancarkan kerajaan kelmarin mesti diselaraskan dengan pelaksanaan serta komitmen yang jitu, demikian menurut AJK PAS Pusat Nasruddin Hassan.

Katanya, jangan hanya slogan dan istilah yang diwar-warkan tetapi negara kekal sebagai negara yang kaya dengan aktiviti mungkar dan maksiat.

"Rasuah masih mengungguli indeks, penipuan dan penyelewengan dalam urus tadbir negara masih ketara.

"Islam adalah addin (cara hidup). Al-Quran dan sunnah sebagai masdar (sumber ambilan) syariah. Hal ini bermakna setiap isi kandungannya diterjemahkan dalam segenap ruang kehidupan.

"Contohnya, pengharaman judi, arak, riba dan penzinaan. Apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menguatkuasakan perintah Allah ini?" katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, tidak dinafikan terdapat manfaat yang telah diperoleh, tetapi terlalu banyak ruang kekurangan atau kelemahan yang boleh diperbaiki.

"Begitu juga pelaksanaan undang-undang jenayah Islam yang merangkumi hudud, qisas dan takzir. Adakah kerajaan akan bersama-sama dengan kerajaan negeri Kelantan untuk mengagendakan perundangan ini di Malaysia?" soalnya.

Beliau optimis banyak perkara yang boleh dipelajari dan dikongsi bersama termasuk terkini usaha gigih kerajaan Kelantan mahu melaksanakan peraturan dan undang-undang Syariat Islam.

Dari aspek kewangan, tegasnya, tidak cukup sekadar wujud industri perbankan Islam, takaful dan pasaran modal Islam tetapi kerajaan perlu ada hasrat mahu membina ekosistem ekonomi negara yang lebih adil.

Misalnya, jelas Nasruddin, agenda pembasmian kemiskinan harus diperkukuhkan, khazanah negara tidak berlegar dalam kalangan pihak tertentu, monopoli dihapuskan, rasuah diperangi, hutang bersabit riba dibatalkan dan portfolio pelaburan juga diselia selaras dengan tuntutan syarak.

"Kita bukan hanya mahu melihat prestasi indeks, tapi kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran negara. Saya dan ramai rakyat Malaysia ingin melihat hasil daripada indeks yang telah diperkenalkan nanti," katanya.

Sebagai satu nilaian, katanya, sebelum ini Malaysia telah menggubal Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Pentadbiran sejak tahun 1985, sewaktu pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pula, beliau telah menggagaskan Islam Hadhari sebagai teras dalam pembangunan negara pada tahun 2004.  Malangnya hasil serta kesan dasar tersebut masih tidak ada dipraktikan sehingga hari hari ini.

Kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan model Indeks Syariah Malaysia, ia merupakan satu kaedah pengukuran saintifik yang menepati dua fungsi penting iaitu pertama, menilai keseriusan usaha kerajaan dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan.

Sebanyak lapan bidang utama akan diukur menggunakan Indeks Syariah Malaysia untuk peringkat permulaan ini iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, pasaran dan persekitaran serta sosial. – HARAKAHDAILY 12/2/2015

Share on Myspace