Saya tidak mahu tuduh Mahathir nyanyuk - Kit Siang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang tidak pasti hendak berterima kasih atau tidak kepada Mahathir bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini ekoran Mahathir telah mengisytiharkan bahawa Lim bukan seorang komunis, namun menggelar beliau sebagai seorang 'autoritarian'.

"Saya tidak pasti hendak berterima kasih atau tidak kepada Mahathir kerana membersihkan nama saya daripada tuduhan 'komunis' yang masih dilemparkan kepada saya oleh tentera siber Umno bersama-sama pembohongan lain, termasuk sebagai dalang rusuhan kaum 13 Mei 1969," ujar Ahli Parlimen Gelang Patah dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Mahathir mungkin mahu membersihkan namanya sendiri, kerana tentu beliau akan dilihat amat bodoh kerana membiarkan seorang 'komunis' bergerak bebas di Parlimen selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan 15 tahun sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Jika saya seorang 'komunis' , maka bererti Mahathir telah gagal sebagai Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri kerana tidak mengetahuinya," ujarnya.

Lim bagaimanapun tertarik dengan tuduhan Mahathir bahawa beliau seorang 'autoritarian' dan mahu anaknya, Guan Eng, menggantikannya.

"Saya tidak mahu menuduh Mahathir nyanyuk walaupun dia mampu berpura-pura nyanyuk atau berpura-pura terkena penyakit lupa, seperti yang dilakonkannya dengan baik ketika tampil di depan Suruhanjaya Siasatan Bebas berkenaan rakaman video Lingam," ujarnya. - HARAKAHDAILY 12/2/2015

Share on Myspace