1MDB: Kanser yang bawa malapetaka kepada negara

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: 1MDB masih lagi gagal menyelesaikan bayaran pinjaman kepada Maybank dan RHB Bank sedangkan tarikh akhir pembayaran sudah disambung sebanyak tiga kali.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, apabila pihak bank bersepakat untuk mengambil tindakan event of default (EOD), maka 1MDB akan merangkul gelaran status pembayar engkar.

"Apabila ini berlaku kelak akan membuktikan dakwaan pihak pembangkang selama ini bahawa 1MDB membawa malapetaka kepada negara," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, lebih malang lagi apabila kanser kewangan 1MDB ini boleh meletakkan risiko ke atas sistem perbankan negara.

Menurutnya lagi, pihak Fitch Ratings sendiri mengatakan bahawa status kewangan 1MDB menimbulkan “ketidakpastian” kerana kerajaan menjamin sebahagian daripada pinjaman itu.

Usah dilupa juga, kata beliau pinjaman RM2 bilion itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan liabilitinya berjumlah RM41.9 bilion setakat 31 Mac 2014.

Beliau berpandangan tindakan EOD yang ingin diambil oleh bank-bank tersebut terhadap 1MDB adalah tindakan dalam usaha menyekat kanser 1MDB daripada menular kepada keseluruhan keutuhan sistem perbankan negara.

"Syabas saya ucapkan kpd bank terbabit kerana berani mengambil tindakan drastik ini terhadap 'pet project' PM," katanya.

Tambah Mahfuz, tindakan EOD itu dengan jelas merupakan 'vote of no confidence' terhadap Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri.

Katanya, apabila Bank di Malaysia sudah tidak mempunyai kepercayaan kepada PM, rasanya eloklah beliau berundur.

"1MDB ini bak kata Tun Mahathir adalah ‘syarikat miskin’ yang tidak patut wujud langsung. Ia bertindak seolah syarikat besar yang kaya-raya sedangkan hakikatnya wang itu daripada pinjaman bank yang masih terkial-kial untuk membayarnya," ujar Ketua Whip Ahli Parlimen PAS itu.

Sesungguhnya, kata beliau 1MDB ini lambang kegagalan PM Najib kerana ia bukan membawa keuntungan kepada negara tetapi malapetaka akibat hutang yang begitu besar. - HARAKAHDAILY 12/2/2015

Share on Myspace