Kerajaan Kelantan, PAS negeri rakam takziah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan merakamkan ucapan takziah di atas kematian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kematian Tuan Guru satu kehilangan besar kepada gerakan Islam di rantau ini.

"Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tok Guru di atas tokoh ulama tersohor tersebut," ujarnya.

Badan Perhubungan PAS Kelantan turut merakam ucapan takziah kepada keluarga Tok Guru.

Setiausahanya, Zulkifli Mamat berkata, PAS kehilangan tokoh besar dalam gerakan Islam di Malaysia.

PAS Negeri Terengganu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Tuan Guru.

"Saya bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat atas pemergian Tuan Guru menemui Penciptanya di saat kepimpinan beliau masih diperlukan," ujar setiausahanya, Muhyidin Abdul Rashid.

Katanya, perasaan sedih amat dirasai oleh pemimpin, penyokong dan semua rakyat yang sentiasa menunggu-nunggu curahan ilmu daripada Tuan Guru.

"Masih terasa terngiang-ngiang suara Tuan Guru dalam ceramah, kuliah dan celoteh beliau menjelaskan isu-isu agama kepada seluruh masyarakat.

"Kami mendoakan agar Almarhum mendapat pengampunan Allah dan rohnya dihimpun bersama para syuhada' dan solihin. Amin," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 12/2/2015

Share on Myspace