PM sedih dengar Tok Guru Nik Aziz pulang ke rahmatullah

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadiri satu majlis di sini, Khamis malam telah menghentikan ucapannya seketika apabila dimaklumkan berita kembali ke rahmatullah bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Najib ketika itu sedang berucap pada majlis sambutan ulang tahun Yayasan Pendidikan Cheras, apabila diberitahu oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai kepulangan ke rahmatullah Nik Abdul Aziz.

Beliau kemudiannya mengumumkan berita itu kepada hadirin, yang terdiri daripada guru-guru sekolah di sekitar Cheras, yang telah membuatkan kesemua para hadirin terkejut dengan berita sedih itu.

Perdana Menteri kemudian mengajak hadirin untuk menghadiahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham, dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama golongan solihin, sebelum meneruskan ucapannya.

Najib kemudian dalam akaun Twitternya, turut melahirkan rasa sedih dengan kepulangan ke rahmatullah Nik Abdul Aziz.

"Innalillahiwainnailahirojiun. Saya sedih mendengar Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah," kata Najib.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laman twitternya turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dengan catatan" saya dengan penuh rasa dukacita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz.

"Moga roh beliau ditempatkan bersama-sama hamba2Nya yang soleh," kata Muhyiddin.

Nik Abdul Aziz, 84, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka di Kota Baharu, Kelantan pada kira-kira 9.40 malam. - Bernama

Share on Myspace