Murabbi ummah: Jasa Tuan Guru dikenang selamanya

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Seluruh saf pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada ahli keluarga, pimpinan serta seluruh ahli PAS atas pemergian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki menyifatkan, pemergian Tuan Guru adalah satu kehilangan yang sangat besar kepada PAS serta perjuangan Islam itu sendiri.

Menurutnya, mantan Menteri Besar Kelantan itu adalah aset besar kepada perjuangan Islam dan menjadi inspirasi rakyat dan ikon kepada PAS di mata masyarakat.

"Kehilangan beliau sukar dicari ganti dan tidak mungkin akan dapat digantikan sama seperti beliau, namun jasa Tuan Guru sebagai murabbi ummah akan dikenang selama-lamanya.

"Seluruh saf pimpinan PAS Perak merakamkan ucapan takziah dengan perasaan yang cukup sebak, semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya kepada Harakahdaily.

Misbahul menjelaskan, kata-kata hikmah yang dicoretkan sepanjang kehidupannya pasti akan segar dalam ingatan serta dijadikan pedoman oleh masyarakat.

Ujarnya, roh perjuangan Tuan Guru akan sentiasa mekar melalui mutiara-mutiara katanya yang indah dan penuh bermakna.

"Kami adalah saksi terhadap segala amalan dan pengorbanannya sepanjang memimpin ummah," ujarnya dengan nada sedih. - HARAKAHDAILY 13/2/2015

Share on Myspace