Tuan Guru membangun Islam, politik matang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada isteri serta keluarga Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat atas pemergian suami dan ayahanda tercinta ke rahmatullah pada malam tadi.

"Ikram juga mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada Presiden, pimpinan dan ahli-ahli PAS atas kehilangan Mursyidul Am PAS yang telah banyak berjasa," ujar Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam kenyaaan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, negara dan umat kehilangan seorang ulama besar dan pemimpin politik yang telah banyak memainkan peranan bagi membangunkan Islam serta politik yang matang di negara ini.

Katanya, ketabahan Tuan Guru melalui pelbagai zaman sepanjang sejarah hidupnya telah membuktikan bahawa almarhum seorang yang istiqamah dalam perjuangan bagi menegakkan Islam, kebenaran dan keadilan.

Beliau berkata, ketabahan Tuan Guru melalui pelbagai ujian sepanjang memerintah negeri Kelantan selama lebih dua puluh tahun menginsafkan kita tentang kecekalan seorang Menteri Besar dalam mengharungi pelbagai fitnah dan ujian.

"Semoga Allah Subhanahu wa Taala merahmati rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada' dan solehin.

"Saya sendiri, bersama-sama pimpinan Ikram Kelantan, akan mewakili Ikram bagi menghadiri solat jenazah dan majlis pengkebumian di Kelantan pada pagi ini, insya Allah," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 13/2/2015

Share on Myspace