Tuan Guru buktikan 23 tahun Kerajaan Kelantan bersih

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat atas pemergian murabbi ummah itu.

Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz bukan sahaja merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat negara ini bahkan kehilangan kepada ummah sejagat.

"Pemimpin dan aktivis perjuangan Islam di seluruh dunia sedang berkongsi kesedihan atas padamnya sebutir permata yang sukar dicari ganti," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah role model terulung sebagai pemimpin yang zuhud, tegas dengan prinsip, luas pemikiran serta kuat pengabdian diri kepada Allah SWT.

Menurutnya lagi, Almarhum telah membutikan sepanjang 23 tahun mentadbir Kelantan selaku Menteri Besar, beliau berjaya mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar bersih, bebas rasuah dan penyelewengan.

"Legasi unggul itu sedang diteruskan oleh kepimpinan negeri yang ada," katanya.

Justeru, kata beliau semoga perwatakan mulia yang dipersembahkan sepanjang hayat Almarhum, memberi semangat, inspirasi dan ikutan kepada generasi baru yang akan meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran di negara ini.

"PAS Kedah mendoakan semoga roh Almarhum Tuan Guru diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT hingga ke jannah," ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/2/2015

Share on Myspace