Hadiahkan bacaan al-Quran untuk Tuan Guru

| .

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) merakam ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat atas pemergian agamawan itu malam tadi.

Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu merupakan kehilangan besar bagi seluruh muslimat PAS.

Beliau berkata, Almarhum sangat terkenal dengan sikap menghormati kaum wanita dan sentiasa memberikan dorongan kepada muslimat PAS untuk terus berjuang dalam gerakan Islam.

"Pemergian Tuan Guru satu kehilangan yang amat besar bagi Pas dan kita semua.

"Semoga Allah limpahi kesabaran kepada Datin Sabariah sekeluarga, semoga roh Tuan Guru bersama para syuhada dan para anbiya dan aulia Allah," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Kelantan mencadangkan seluruh muslimat di seluruh negara mengikut cawangan dan kawasan masing-masing agar membaca al-Quran mengikut juzuk bagi dihadiahkan kepada Almarhum.

"Saya mencadangkan muslimat di setiap cawangan, Dun dan kawasan membaca al-Quran mengikut juzuk untuk kita hadiahkan kepada Almarhum Tuan Guru yang kita kasihi.

"Mohon ketua ketua muslimat di semua peringkat menyusun di peringkat masing masing di seluruh negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. - HARAKAHDAILY 13/2/2015

Share on Myspace