Masjid Selangor, Perlis solat jenazah ghaib untuk Tuan Guru

| .

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan semua masjid dan surau mengadakan solat jenazah ghaib untuk Mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas solat Jumaat nanti.

Arahan itu dikeluarkan Jais dalam satu surat rasmi yang ditandatangani Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Idris Ramli kepada semua Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah dan Pejabat Agama Islam Daerah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi turut memohon agar masjid dan surau memberi kebenaran untuk diadakan solat jenazah ghaib di atas pemergian tokoh murabbi itu.

Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang mengalami sakit kanser prostat menghembuskan nafasnya terakhir kira-kira jam 9.40 malam tadi di kediamannya di Pulau Melaka.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengarahkan perkara yang sama kepada masjid di negeri itu.

Pemergian Almarhum satu-satunya tokoh politik dan ilmuan yang cukup disanjungi diratapi seluruh rakyat negara ini.

Sejak berita pemergian Almarhum dimaklumkan hampir seluruh rakyat negara ini menangisi pemergiannya melalui media sosial.

Rata-rata netizen daripada berbilang bangsa dan agama, tua dan muda meletakkan status sedih di laman Facebook masing-masing sejak malam tadi sehinggalah saat ini. - HARAKAHDAILY 13/2/2015

Share on Myspace