Tuan Guru Nik Abdul Aziz pemimpin untuk semua kaum

HARAKAHDAILY | .

 

KUALA LUMPUR: Perginya Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mengadap Ilahi mencetuskan kesedihan yang amat sangat kepada ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian.  Beliau merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan ramai yang senang dengan cara beliau melayan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, demikian kenyataan PAS Sarawak melalui Timbalan Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee

 “Tok guru Nik Aziz mendapat sokongan daripada sebilangan besar orang bukan Islam di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam peningkatan sokongan pada  PAS di kalangan orang bukan Islam.
 
“Seorang pemimpin yang jujur, amanah serta sukar dicari ganti. Kematian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar bagi ahli PAS serta rakyat Malaysia amnya.
 
“PAS Sarawak ingin merakamkan ucapan takziah atas kematiannya, Semoga Allah ampunkan beliau dan meletakkan rohnya bersama dengan roh orang-orang soleh,” ujar Jofri yang juga YDP PAS Miri.

Sementara itu PAS Sabah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“PAS Sabah juga berharap agar semua pemimpin Islam di Sabah dapat mencontohi kezuhudan dan keperibadian Tuan Guru Nik Aziz yang tidak mementingkan harta dan pangkat semasa menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun. Beliau merupakan ikon politik dan diterima semua kaum tanpa mengira agama. Beliau juga telah menunjukkan sifat seorang muslim sejati dan integriti yang amat tinggi,” ulas Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamid Ismail. – HARAKAHDAILY 13/2/2015

Share on Myspace