Tuan Guru ahli politik sederhana, merakyat

| .

 

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Sisters In Islam (SIS) menyifatkan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bekas menteri besar dan ahli politik yang merendah diri, sederhana dan merakyat.

Dalam ucapan takziah atas pemergian almarhum, SIS berpandangan ketokohan almarhum tidak dapat dinafikan walaupun berbeza pendapat dengan pertubuhan itu.

"Sisters in Islam merakam ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat dan PAS atas berita sedih kembalinya almarhum ke pangkuan Penciptanya.

"Sosok almarhum sangat dikenali dan disegani rakan dan lawan. Beliau akan dikenang sebagai mantan menteri besar dan ahli politik yang merendah diri, sederhana dan merakyat," kata SIS dalam satu kenyataan semalam.

SIS turut menghargai jasa almarhum sewaktu menjadi Menteri Besar Kelantan yang memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Almarhum juga kata SIS, antara tokoh ilmuan yang berpendapat bahawa tafsiran Asnaf Muallaf dalam pembahagian zakat harus diperluaskan dan memasukkan bukan Islam yang berada dalam kesempitan dan keperluan sebagai penerima zakat.

SIS juga menganggap pemergian Mursyidul Am PAS itu merupakan satu kehilangan bukan sahaja kepada keluarga dan rakyat Kelantan, tetapi rakyat Malaysia secara amnya.

"Kami sekali lagi merakam kesedihan kami di atas pemergian almarhum.

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan reda dan penuh kebahagian. Al Fatihah," kata kenyataan itu.- HARAKAHDAILY 14/2/2015

 

Share on Myspace