'Orang bukan Islam seperti saya senang dengannya'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim tidak akan melupakan kenangan bersama-sama Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam membantu petani.

Ia berikutan beliau kerap ke Kelantan membawa rombongan petani antara 2000 hingga 2004, dan menziarah rumah Allahyarham menjadi acara wajib, lapor SelangorKini.

“Teruja. Seorang Menteri Besar begitu senang dan berlapang dada menerima tetamu walapun tanpa sebarang temu janji.

“Saya banyak belajar dari tok guru. Perwatakannya lembut, beradab dan mudah menerima dan bertemu rakyat membuatkan orang bukan Islam seperti saya senang dengannya.

“Pendekatan tok guru begitu luar biasa. Tegurannya tepat. Nasihatnya berasas. Pandangannya luas. Saya akan sentiasa mengingati semua itu,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru, Suee Lim tersentuh dengan pemergian Allahyarham kelmarin mengenangkan keperibadian tinggi Mursyidul Am PAS itu dan mahu meneladaninya.

“Nasihat dan pandangan tok guru sentiasa jadi asas pertimbangan saya selaku wakil rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya yang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Share on Myspace