Rakyat berhak dapat tarif elektrik rendah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menyokong saranan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang mendesak agar pihak kerajaan menurunkan kadar tarif elektrik sebanyak 10 peratus dan dikuatkuasakan untuk sepanjang tahun.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, berkata hal ini amat penting agar ia benar-benar memberikan impak positif kepada seluruh rakyat termasuk sektor perniagaan.

"Dengan penurunan kos pengeluaran akan menjadi pemangkin yang kukuh untuk harga barangan turut diturunkan," katanya kepada Harakahdaily.

PAS juga, katanya mendesak kerajaan agar menjawab persoalan Fomca iaitu berapakah harga sebenar semasa untuk pengeluaran 1kWh elektrik berdasarkan kos sebenar dan bagaimana kadar penurunan 5.8 peratus itu diperoleh.

Pendedahan itu, katanya amat penting kerana daripada situlah dapat diukur jumlah penjimatan dan kadar penurunan yang patut diterima oleh seluruh rakyat.

Bagi Mahfuz tempoh penguatkuasaan tarif baru selama tiga bulan itu tidaklah mencukupi kerana tempoh begitu singkat bahkan sepatutnya ia dikuatkuasakan selama setahun.

"Rakyat berhak untuk mendapat tarif elektrik yang rendah agar seiring dengan kejatuhan harga petrol, gas dan arang batu di peringkat global," katanya.

Kebiasaannya apabila harga minyak dunia naik, jelasnya kerajaan terus bertindak menaikkan harga minyak di Malaysia malangnya mengapa pula ketika harganya jatuh, kadar penurunan tarif ini begitu rendah dan tempohnya begitu singkat.

"PAS menegaskan sekali lagi betapa pentingnya kerajaan untuk menunjukkan contoh tauladan dalam menurunkan harga barang kawalan yang di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan iaitu harga gula, tepung gandum, minyak masak dan gas memasak," ujarnya.

Justeru katanya, apabila harga barang kawalan ini diturunkan sekaligus dapat meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh sekalian rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. - HARAKAHDAILY 14/2/2015

Share on Myspace