Tok Guru buktikan pemimpin tidak semestinya membazir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membuktikan yang pemimpin tidak semestinya menunjukan sikap membazir dan hidup melebihi dari keadaan mereka sendiri.

Bagi Aspan Alias, kata perbilangan tidak hilang bisa ular menyusur akar, begitulah keadaannya bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz selama ini.

Beliau menyatakan demikian menerusi tulisan dalam bognya, semalam dengan tajuk 'Perginya seorang tokoh yang sukar dicari ganti'.

Tulisan penuh seperti di bawah.

Semasa sedang berehat malam semalam, saya diberitahu oleh ramai, ratusan jumlahnya SMS yang Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat (TGNA) telah tiada lagi dan telah kembali ke Rahmatullah dalam usia 84 tahun. TGNA sememangnya telah menghadapi keuzuran sejak akhir-akhir ini tetapi pemergiannya buat selama-lamanya itu membuatkan saya dan tentu ramai lagi merasakan kehilangan seorang yang sepanjang hayatnya berjuang dalam politik tanah air tanpa jemu.

TGNA adalah seorang yang tidak ada siapa yang tidak mengenalinya kerana beliau merupakan seorang pemimpin ‘spiritual’ parti PAS yang telah merintasi batasan persempadan negara dan namanya dikenali di seluruh dunia bukan sahaja di kalangan negara Islam malahan di kalangan negara dan pemimpin bukan Islam di merata negara.

Kita tidak perlu menyentuh apa sumbangan beliau terhadap negara dan Islam, kerana itu sudah menjadi pengetahuan awam. Tetapi apa yang jangan dilupakan tentang diri TGNA ini ialah sifat kesederhanaan hidup beliau walaupun beliau merupakan seorang pemimpin besar malahan menjadi idola besar kepada ramai rakyat negara ini tanpa mengira parti dan politiknya.

Beliau dihormati oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini kerana kesederhanaan hidupnya di rumah kampungnya di Pulau Melaka dan dari situlah beliau memimpin partinya dan menjadi pemimpin yang tidak boleh dipandang enteng oleh kawan dan lawan beliau dalam politik.

TGNA telah membuktikan yang pemimpin tidak semestinya menunjukan sikap membazir dan hidup melebihi dari keadaan mereka sendiri. Kata perbilangan tidak hilang bisa ular menyusur akar; begitulah keadaannya bagi TGNA selama ini.

Dengan tiadanya TGNA maka kita kehilangan seorang pemimpin dan ulama yang disegani oleh semua pihak tidak kira oleh pemimpin dan ahli agama serta politik tetapi juga oleh semua pihak dan dikatakan beliau merupakan salah seorang pemimpin Islam yang paling berpengaruh di dunia ini.

Kita hanya mampu berdoa agar roh pemimpin ini ditempatkan dan dibariskan bersama roh aulia-aulia, ambia-ambia serta syuhada. - HARAKAHDAILY 14/2/2015

Share on Myspace