Nik Abduh nasihat ikut sunah Nabi ziarah pusara ayahnya

BERNAMA | .

KOTA BAHARU: Nik Mohamad Abduh, anak Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang ramai supaya mengikut sunah Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi pusara ayahnya itu.

Beliau berkata orang ramai diminta untuk tidak melakukan perkara yang boleh dianggap sebagai khurafat ketika menziarahi pusara Allahyarham.

"Saya nasihat kepada rakyat Malaysia yang datang ziarah hendaklah menepati sunah Nabi Muhammad SAW kerana ziarah keluarga dan tok guru adalah sama.

"Perlu berdoa dan mengambil peringatan untuk diri sendiri, jangan tambah (melakukan) benda yang bersifat bidaah dan khurafat kerana ia akan membatalkan amalan soleh kita sendiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini, Sabtu.

Nik Mohamad Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya terdapat segelintir masyarakat yang mengambil tanah di pusara berkenaan untuk dijadikan azimat dan sebagainya.

Tinjauan Bernama di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini, mendapati orang ramai tidak henti-henti menziarahi pusara bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka pada 9.40 malam, Khamis ketika berusia 84 tahun.

Anggota Dewan Undangan Negeri Chempaka itu dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, kira-kira 8.40 malam hari yang sama setelah dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, pada 11.30 pagi Jumaat. - Bernama

Share on Myspace