Takziah buat keluarga maut pulang dari ziarah Tok Guru

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada ahli keluarga tiga beranak yang meninggal dunia dalam kemalangan di Tok Bali, Kelantan ketika pulang dari menziarahi jenazah Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Dalam kemalangan di Jalan Melawi-Tok Bali dekat Kampung Telong, Bachok petang semalam, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian Roslan Mamat, 34, dan anaknya Nur Airish Alisya, 3 bulan.

Isteri Roslan, Mimi Suhartini Abdul Ghani, 38, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mangsa yang berasal dari Kampung Pak Madah, Marang itu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Marilah kita mendoakan agar mereka mendapat keampunan dari Allah dan ditempatkan bersama sama orang-orang yang soleh," tulis Tuan Guru Abdul Hadi menerusi facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mendirikan solat jenazah tiga beranak itu di Tanah Perkuburan Kampung Pak Madah. - HARAKAHDAILY 14/2/2015

Share on Myspace