Tuan Guru Nik Abdul Aziz motivasi terbaik perjuangan

NOR AZMAN MOHAMAD | .

 Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Majlis Makan Malam Amal anjuran PAS Negeri Sembilan pada 28 Disember 2012.

SANJUNGAN dan penghormatan yang diberikan kepada beliau adalah bukti pendekatan hikmahnya ketika diberi amanah.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat benar-benar telah membuktikan amanah yang diberikan dimanfaat sebaiknya untuk Islam.

Amanah bukanlah kesempatan baginya untuk mengumpul kesenangan dan kemewahan. Pesanan keramat beliau yang senantiasa mengajak rakyat memikirkan kehidupan akhirat dengan merenung untung nasib dan tanggungjawab terhadap amal perbuatan pada hari pembalasan di hadapan Allah sangat meninggalkan kesan. Mencari dunia sangat melelahkan kerana padanya banyak kehinaan, kecacatan dan kekurangan.

Beliau juga telah membuktikan seorang yang diberi faqih dalam agama, kerja memahamkan agama tidak hanya di dalam medan kuliah bahkan dengan amanah sebagai pentadbir sebuah negeri.

Semua ini ditunjukkan dengan akhlak peribadi dan tindakan rasmi sewaktu beliau bergelar pemimpin negeri dan parti.

Seseorang itu akan terus terhormat selama ia zuhud dan tidak tamak terhadap hal lain yang bukan miliknya. Itulah yang boleh saya gambarkan kepada dirinya. Integriti kepimpinan sebeginilah yang menyebabkan beliau dihormati kawan dan lawan.

Tuan Guru telah melaksanakan sebaiknya peluang dan amanah yang diberikan. Tanggal 13 Februari 2015, Tuan Guru telah selamat disemadikan di saat beliau sudah mengotakan janjinya dalam perjuangan. Ribuan menjadi saksi saat pemergiannya.

Apa yang utama, kewajipan kita meneruskan legasi perjuangannya. Pemuda PAS Negeri Sembilan merakamkan takziah kepada keluarga beliau dan ucapan terima kasih atas segalanya. Moga Allah mengampuni dirinya dan mencucuri rahmat ke atas rohnya. - HARAKAHDAILY 15/2/2015

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan.

Share on Myspace