BN tidak perlu bertanding Dun Chempaka, kata Khairy

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Pemuda Umno berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka bagi memberi fokus kepada proses pemulihan banjir kawasan Kelantan selatan dan tengah, kata ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata proses pasca banjir memerlukan kerjasama erat antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, dan sekiranya BN bertanding di kawasan Dun Chempaka itu, ia mungkin mengganggu proses kerjasama tersebut.

Khairy berkata demikian selepas menghadiri karnival 'Walk-A-Run' anjuran Persatuan Murid-Murid Lama Kolej Tunku Kurshiah, yang dirasmikan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, di Pusat Sukan Air, Putrajaya, Ahad.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga berpendapat Sabtu, BN tidak perlu meletakkan calon di Dun Chempaka sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir.

Mengenai karnival itu, Khairy berkata ia adalah satu usaha mengumpul dana bagi memulihkan padang Kolej Tunku Kurshiah di Bandar Enstek.

Terdahulu, Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Tunku Kurshiah Tan Sri Dr Rafiah Salim berkata kolej itu memerlukan RM500,000 bagi membaiki pulih padang itu bagi menjalankan aktiviti Hari Sukan. - Bernama

 

Share on Myspace