Saya bukan datang minta simpati - Wan Azizah

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: "Saya bukan datang minta simpati tetapi datang mengajak rakyat menghukum kezaliman yang dilakukan terhadap suami saya Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau turut menyampaikan salam Anwar kepada rakyat di Pulau Pinang.

"Beliau nampak sayu walaupun cuba ceriakan keadaan mengatakan dirinya dah 'slim' walaupun baru masuk penjara lima hari. Harapannya masih tinggi supaya rakyat menghukum kerajaan sedia ada," tegasnya dalam ceramah anjuran PKR negeri di tapak parkir Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Di dalam penjara, katanya, Anwar tidur beralaskan tilam satu inci tanpa meja dan kerusi.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Anwar tiada keistimewaan berhadapan dengan hukuman di penjara.

"Patutnya berilah sedikit layanan bukan membiarkan Anwar begitu rupa. Apa pun Anwar tetap tabah menghadapinya semata-mata kerana mahu memastikan rakyat tidak lagi terbelenggu dengan kezaliman dan penyelewengan," jelas Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Selangor.

Beiau turut melancarkan simbolik poskad bertulis 'kami tidak akan menyerah kalah'.

Poskad tersebut boleh didapati di setiap ceramah PKR dan Pakatan Rakyat. Orang ramai yang memiliki poskad boleh menghantar terus ke Penjara Sungai Buluh di alamat KM 20, Sungai Buluh, 47000 Selangor atas nama Anwar. - HARAKAHDAILY 15/2/2015

Share on Myspace