Arak: Pekerja Islam lakukan jenayah syariah di Sabah

HAMID ISMAIL | .

PAS Sabah ingin menarik perhatian kerajaan negeri Sabah tentang penjualan minuman keras di supermarket dan hypermarket seluruh negeri.

Hasil tinjauan PAS Sabah mendapati terdapat pekerja-pekerja beragama Islam mengendalikan kaunter pembayaran semasa pelanggan-pelanggan membeli dan membayar arak yang dijual di supermarket dan hypermarket tertentu.

PAS Sabah ingin memaklumkan kerajaan negeri Sabah bahawa tindakan pekerja-pekerja terbabit adalah satu kesalahan jenayah syariah di Sabah.

S. 57(2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 memperuntukkan bahawa sesiapa yang membuat, menjual, menghadiah, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu tinggi atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pekerja-pekerja beragama Islam yang menjadi juruwang semasa pembayaran minuman keras di kaunter pembayaran adalah termasuk dalam kategori orang yang menjual minuman keras.

Pekerja-pekerja beragama Islam yang menyusun minuman keras di rak jualan juga termasuk dalam kategori mempamerkan untuk jualan.

Untuk memastikan kesalahan jenayah ini tidak berlaku lagi, saya mencadangkan agar para pengusaha supermarket dan hypermarket yang ada menjual minuman keras agar membuat kaunter khas bagi pembayaran minuman keras yang dikendalikan oleh pekerja bukan Islam sahaja.

Penyusunan minuman keras di rak jualan juga hendaklah dikendalikan oleh pekerja bukan Islam sahaja.

Saya menyeru kerajaan negeri Sabah untuk mengambil langkah pro-aktif agar pekerja-pekerja terbabit tidak terus melakukan jenayah syariah. Yang paling penting adalah untuk mengelakkan mereka tidak terus melakukan dosa terhadap Allah SWT sesuai dengan ajaran Islam amar ma’ruf nahi mungkar (sebar kebaikan, halang kejahatan).

Saya juga berharap agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) dapat memainkan peranan mereka untuk memantau perkara ini. - HARAKAHDAILY 15/2/2015 

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah.

 

Share on Myspace