Kerusi Dun Chempaka kosong dimaklum SPR - Speaker

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kekosongan Dun N.06 (Chempaka) sudah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini kata Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub.

Katanya kekosongan kerusi Dun berkenaan berikutan kematian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah dimaklumkan kepada Pengarah SPR Negeri Mohamad Mahmud, petang tadi.

“Pemakluman dibuat selepas kami menerima sijil kematian daripada keluarga Tuan Guru. Dan surat makluman itu dihantar melalui serahan tangan oleh kakitangan Pejabat Speaker,” katanya pada persidangan media di pejabatnya petang ini.

Pilihanraya kecil Dun Chempaka bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, 84, pada Khamis lepas akibat kanser prostat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Tuan Guru Nik Abdul Aziz menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Abdullah berkata, surat berkenaan di samping sijil kematian akan dibawa SPR Kelantan kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof seberapa segera.

“Berdasarkan kepada Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri perlu diisi dalam tempoh 60 hari daripada tarikh SPR mendapati kerusi tersebut kosong,” ujarnya.

Ditanya mengenai pandangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, BN tidak perlu meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu, Abdullah menyambut baik pandangan tersebut.

“Alhamdulillah kami alu-alukan, terima kasih banyaklah, bagiamanapun itu hanya pandangan pribadi beliau dan belum lagi dibincangkan di peringkat BN Pusat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 15/2/2015

Share on Myspace