Pengganti Tok Guru boleh berkhidmat kepada rakyat

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS Kelantan bersiap sedia mempertahan kerusi Dun Chempaka bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS tetap akan menyertai pilihan raya selaras dengan tuntutan demokrasi.

Katanya, sudah menjadi kelaziman apabila berlaku kematian penyandang, pilihan raya kecil diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“Calon yang akan menggantikan tempat Tok Guru di Chempaka kita pastikan dia boleh berkhidmat dengan baik kepada rakyat,” katanya di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil Dun Chempaka bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, 84, pada Khamis lepas akibat kanser prostat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Tuan Guru Nik Abdul Aziz menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Ditanya kenyataan awal Umno tidak berminat menyertai pilihan raya tersebut, Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, PAS Kelantan akan melihat perkembangan tersebut.

“Biarpun maklumat awal dinyatakan tidak berminat, namun keputusan muktamad dari Kuala Lumpur belum kedengaran lagi.

“Apa pun PAS tetap akan mempertahankan kerusi Dun Chempaka pada pilihan raya kecil nanti,” ujarnya.

Kelmarin Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan Umno mahu memfokuskan isu lain berbanding pilihan raya kecil Dun Chempaka. - HARAKAHDAILY 16/2/2015

Share on Myspace