Pemergian Tok Guru: Jangan ulangi kesilapan serupa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Semasa Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, ilmunya tidak dimanfaatkan oleh negara untuk membina minda masyarakat menerusi saluran tv dan radio.

AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyatakan demikian ekoran pemergian Tok Guru mendapat liputan luar biasa dari seluruh saluran radio dan tv.

Katanya, rata-rata membuat liputan hiba meratapi pemergian Tok Guru sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Tambahnya, tokoh akademik diundang untuk menganalisa jasa, pemikiran dan keperibadian Tok Guru secara langsung menerusi saluran tv.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, semuanya mengakui kehebatan peribadi, ketinggian ilmu dan ketokohan Tok Guru sebagai tokoh agama, pemimpin politik dan pentadbir yang baik.

Malangnya, kata beliau penyiaran negara hanya memanfaatkan ruang ini setelah Tok Guru selamat menemui Tuhannya Rabbul Jalil.

"Semasa hidup, ilmunya tidak dimanfaatkan oleh negara untuk membina minda masyarakat dan membasmi kejahilan melata di negara ini," ujarnya menerusi tulisan dalam facebook.

Katanya lagi, kebanyakan masa dan saluran dihabiskan dengan hiburan dan rancangan yang tidak membantu untuk bina minda dan syaksiah masyarakat yang soleh.

"Jangan ulangi kesilapan lalu. Tok Guru Nik Aziz ada meninggalkan warisannya. Penyambung baton perjuangan dan anak didik penerus ilmu dan amalnya," ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Selain itu, ujar beliau masih terdapat para alim ulama yang tinggi ilmunya, hebat amalannya dan wibawa peribadinya.

Justeru, beliau menyeru supaya dimanfaatkan ilmu mereka sementara mereka masih hidup ke arah menjana pertumbuhan tamadun yang toyyibah dan penghuninya mendapat keampunan Allah swt.

"Antara tokoh yang boleh saya cadangkan di sini seperti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai seorang mufassir yang hebat," ujarnya.

Beliau mencadangkan supaya diwujudkan saluran Tafsirul Quran di TV1 atau lainnya sebagai medium membekal ilmu dan mendidik ummah.

"Jangan ulangi kesilapan serupa sebanyak dua kali," tambahnya. - HARAKAHDAILY 16/2/2015

Share on Myspace