Batal lebuh raya, tambah baik pengangkutan awam - Fomca

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Langkah membatalkan projek Lebuh raya Kinrara Damansara (Kidex) disambut baik namun fokus utama perlu diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam supaya rakyat boleh menjadikannya sebagai pilihan utama.

“Tidak ada masalah kalau kerajaan negeri membatalkan Kidex namun dengan syarat kena ada perancangan mengatasi masalah lalu lintas," kata Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman dipetik Selangor Kini.

Katanya, masalah diberikan perhatian rakyat adalah penambahbaikan sistem pengangkutan, bukannya pembinaan lebuh raya yang mewujudkan penggunaan lebih banyak kenderaan.

Perkara paling penting, katanya adalah dasar kerajaan untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Katanya, pembinaan Lebuh raya Kidex lebih menjurus kepada penambahan penggunaan kenderaan di jalan raya dan bukannya menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas sedia ada.

“Penyediaan bas percuma di kawasan Petaling Jaya merupakan langkah yang baik dan dasar ini perlu diperluaskan untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembatalan projek Lebuh raya Kinrara Damansara (Kidex) hari ini.

Share on Myspace