IPK Johor terbengkalai, kontraktor patut didenda

| .

KUALA LUMPUR: PKR menggesa kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) segera mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut balik segala denda dan kerugian daripada kontraktor lama yang membina Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.

Pembinaan IPK Johor di Johor Bahru terbengkalai lebih satu setengah tahun dan sepatutnya siap pada Julai 2013 di bawah Global Globe Malaysia Bhd.

Pembinaan bersambung semula dengan perlantikan kontraktor baru bermula 5 Februari lalu dan dijangka kerja pembinaan akan siap 18 bulan kemudian.

Bayaran interim 1 hingga 51 sebanyak RM46.12 juta telah dibayar kepada kontraktor terdahulu.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tsee berkata, pihak kerajaan perlu mengetatkan sistem pemilihan kontraktor agar insiden sebegini tidak berulang.

"Jumlah kos projek untuk kontraktor baru adalah berjumlah RM72.8 juta. Ini bermakna kos pembinaan IPK Johor telah melonjak naik daripada kos asal iaitu RM103 juta kepada RM118.92 juta. Ini menunjukkan kenaikan kos sebanyak RM15.92 juta ataupun lebih daripada 15 peratus harga asal.

"Kami berpendapat RM15.92 juta lebihan ini boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain yang lebih bermakna dan bercendurung kebajikan rakyat," katanya yang juga Adun Bukit Batu.

Menurut beliau juga, kepantasan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pengarah kanan ke Johor Bahru untuk menyelesaikan isu ini jelas terbukti bahawa peranan parti politik pembangkang untuk terus memantau dan mengawasi pembinaan projek-projek kerajaan adalah perlu dan penting dalam sistem demokrasi negara ini.

"Keadilan Johor akan terus dengan usaha untuk membongkarkan lebih banyak isu yang memudaratkan hak dan kepentingan rakyat Malaysia," katanya. - HARAKAHDAILY 16/2/2015

 

Share on Myspace