SPR mesyuarat bincang PRK Dun Chempaka Rabu ini

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka pada Rabu ini, berikutan kematian penyandangnya bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Khamis lepas.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub, semalam.

Mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof itu akan diadakan pada 10 pagi di Ibu Pejabat SPR, di sini, katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Katanya, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh penting seperti tarikh kekosongan Dun N.06 Chempaka, hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian biasa.

"Selain itu, mesyuarat juga akan membincangkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam PRK dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan," katanya.

Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat berkenaan.

Semalam, Abdullah dalam sidang media di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim berkata berdasarkan kepada Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukkan, kekosongan sesuatu kerusi Dun Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari daripada tarikh SPR mendapati kerusi tersebut kosong.

Nik Abdul Aziz meninggal dunia di kediaman beliau di Pulau Melaka pada 9.40 malam, Khamis lalu selepas dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, Nik Abdul Aziz (PAS) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala Wan Razman memperoleh 5,810 undi. - Bernama

Share on Myspace