Tutup kedai waktu Jumaat: Laporan Star, NST tidak tepat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kesal dengan laporan akhbar Star dan New Straits Times hari ini berhubung arahan menutup kedai pada waktu solat Jumaat dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Kenyataan beliau itu merujuk laporan akhbar Star hari ini pada halaman 6 bertajuk Friday prayer closure should only be for Muslims dan New Straits Times pada halaman 8 bertajuk Kelantan shop must close for Friday prayers.

"Setelah saya merujuk kepada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), laporan itu tidak tepat dan mengelirukan," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, apa yang sebenarnya ialah arahan itu hanya terbatas kepada pasar raya (supermarket) dan pasar raya besar (hypermarket) sahaja, tidak melibatkan semua kedai sebagaimana yang dilaporkan.

Ini, katanya kerana pasar raya (supermarket) dan pasar raya besar (hypermarket) menjadi antara tempat lepak dalam kalangan lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat.

Justeru, kata beliau penutupan selama dua jam bermula 12.30 tengah hari itu tidak akan memberi ruang kepada mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat.

"Saya amat kesal dengan laporan yang tidak tepat dan mengelirukan itu," ujarnya. - HARAKAHDAILY 16/2/2015

Share on Myspace