Tanam padi 5 kali 2 tahun tingkat pendapatan pesawah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun mampu menampung permintaan tinggi pasaran dan meningkatkan pendapatan pesawah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata kajian dan percubaan ke arah itu masih diteruskan dengan kerjasama Jabatan Barat Laut Selangor.

“Jabatan Pertanian Selangor telah melaksanakan program ini tetapi terdapat beberapa halangan terutamanya berkaitan bekalan air,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Baja Mikrob Biodcomposer di Parit Tiga, Kampung Sungai Burong, Tanjung Karang, semalam.

Setakat ini, ujarnya sudah ada segelintir pesawah menjalankan penanaman padi tiga kali setahun.

“Kajian masih dijalankan berhubung kesuburan tanah, bekalan air dan beberapa elemen lain sebelum ia dilaksanakan menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, seramai 9,057 pesawah negeri itu puratanya ramai komited dan ada sebahagian daripada mereka berjaya mencapai tahap pengeluaran padi 10 metrik tan sehektar semusim.

Selangor merupakan negeri tertinggi pengeluaran hasil padi dengan purata 6.15 tan metrik semusim berbanding dengan purata negara 4.49 tan metrik.

Share on Myspace