Kuliah Jumaat TGNA itu memberi kesan dalam jiwa saya

AFRIADI SANUSI | .

SAYA hanya sekali mengikuti kuliah Dhuha hari Jumaat di dataran ilmu Kota Baru Kelantan. Namun kehadiran pertama dan terakhir itu sangat memberi kesan dalam jiwa saya.

Pertama, kuliah itu dihadiri oleh ribuan hadirin yang diwakili oleh pelbagai lapisan masyarakat baik golongan bawah, menengah dan atas.

Kedua dalam ceramah beliau mengatakan lebih kurang seperti ini, “Berkah itu adalah hak milik Allah... hanya Allah yang berhak memberi. Manusia tidak mampu memberi barokah, kerana hanya Nabi sahaja yang maksum tanpa dosa.

Melihat dari fenomena masyarakat Nusantara hasil peninggalan campuran agama Hindu-Budha (Singkritisma), dan melihat begitu ramainya pengikut yang sangat mencintai beliau, sebenarnya TG Nik Aziz boleh memanfaatkan keadaan itu untuk menjadi manusia yang “disakralkan” “didewakan” “dikaromahkan dan “dianggap” mampu memberi berkah sebagaimana Ayah Pin, Ashaari, Gusdur atau seperti raja-raja dan pimpinan agama lainnya dalam budaya kuno masyarakat Melayu Nusantara. Namun beliau tidak mau melakukan itu, dan bahkan tidak suka di saat diberi penghormatan yang berlebihan oleh masyarakat.

Sebagai pengurus Muhammadiyah saya melihat apa yang dilakukan oleh TG Nik Aziz adalah seiring dengan perjuangan Muhammadiyah sejak tahun 1912 lalu. Jika kita menziarahi kuburan KH. Ahmad Dahlan, ia adalah sama dengan kuburan masyarakat lainnya tanpa bangunan yang menyolok mata dan tidak ada orang yang datang kekuburnya minta berkah, banyak rezeki, jodoh, keselamatan sebagaimana beberapa kuburan yang disakralkan saat ini di Nusantara. Menjadi pemimpin Muhammadiyah, jangankan akan dicium tangan saat berkunjung ke daerah, baru datang dari jauh sahaja kita sudah dikritik kerana Muhammadiyah mengamalkan kesamaan menurut pimpinan Muhammadiyah Prof. Dr. Din Syamsuddin.

Ini juga mengingatkan kita lagi kepada manusia terkaya dan sangat berkuasa iaitu raja Arab Saudi Raja Abdullah yang baru sahaja meninggal dunia dan di kuburkan di kuburan masyarakat awam tanpa nisan bernama dan dengan sangat sederhana sekali. Ini bertujuan agar masyarakat awam tidak datang kekuburannya meminta berkah, rezeki, jodoh, kesehatan, kebahagiaan sebagaimana beberapa kuburan di Nusantara saatini.

Nik Aziz telah tiada. Beliau telah berjuang menghapus kesyirikan di negeri yang berjiran dengan masyarakat yang menganut faham banyak tuhan (politeisme). Beliau juga telah mengamalkan kepimpinan sederhana seperti Rasulullah yang masih tidur beralaskan lapik pelepah kurma pada saat Islam sudah maju jaya atau seperti Umar Abdul Aziz yang tidak mahu mengambil harta dan hak rakyatnya.

Sampai akhir hayatnya, Nik Aziz masih tetap miskin sebagaimana keadaan beliau pertama kali menjadi Menteri Besar dulu walaupun sudah memegang jawatan itu selama 23 tahun lamanya. Cuba bandingkan dengan pimpinan lainnya yang akan menjadi orang kaya baru setelah beberapa tahun sahaja menduduki satu jawatan penting.

Dan yang paling penting ialah, Nik Aziz tidak mahu diberi penghormatan berlebihan, tidak mahu dikaramahkan dan pasti tidak sudi orang datang meminta barokah kekuburannya kerana menurut beliau “Barokah adalah hak milik Allah, hanya Allah yang berhak memberi dan manusia tidak memiliki hak untuk memberikan berkah kepada sesiapapun. – HARAKAHDAILY 17/2/2015

Penulis ialah Pelajar Sains PhD. Sains Politik Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan berasal dari Indonesia.

Share on Myspace