MB Kelantan akui sunyi selepas Tuan Guru tiada

| .

KOTA BHARU: “Saya terasa begitu kesunyian selepas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipanggil mengadap Ilahi.

“Kita berasa sunyi kerana keilmuannya. Allahyarham seorang ulama yang penuh dengan ilmu agama di dada. Beliau bagaikan sebutir mutiara yang menerangi masyarakat dengan ilmu.

“Biar pun beliau berkhutbah Jumaat namun isinya penuh dengan ilmu dan isu-isu semasa yang berlaku,” kata Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka pada malam 12 Febuari lalu selepas menjalani rawatan barah prostat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Almarhum dimasukkan ke wad pada 19 Januari. Dan sehari selepas itu dimasukkan ke wad ICU bagi menjalani rawatan rapi. Beliau dibawa pulang ke rumahnya kira-kira jam 8.40 malam dan meninggal dunia sejam kemudian.

Menteri Besar berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz membawa pendekatan politik Islam yang syumul, berbanding teori politik yang dibawa dari barat.

“Arwah berusaha mendaulatkan Islam di Kelantan dengan meluluskan di persidangan Dun Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada 1993.

“Usaha itu ditinggalkan kepada saya sebagai penggantinya. Kita teruskan usaha dengan mengemaskini lagi enakmen tersebut yang akan dibawa pada persidangan Dun 16 Mac ini,” katanya. - HARAKAHDAILY 17/2/2015

Share on Myspace