Anwar 'ditawar' jadi TPM, Muhyiddin nak tahu juga

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selepas Nurul Izzah membuka rahsia bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU13 lalu, kini Rafizi Ramli yang merupakan pemimpin kanan PKR pula tampil mengesahkan kebenarannya.

Beliau yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR berkata, beserta tawaran itu juga ialah empat jawatan menteri turut ditawarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen PKR dengan syarat parti itu perlu memutuskan hubungan dengan PAS dan DAP.

Katanya lagi, perkara itu telah dibawa oleh Anwar dalam mesyuarat PKR tetapi mereka menolaknya kerana berpendapat jika perpaduan nasional ingin dibentuk, ia mestilah melibatkan sama PAS dan DAP kerana kedua-dua parti itu turut menyumbang kejayaan kepada PR meraih 52 peratus undi popular daripada rakyat dalam PRU13 lalu.

"Sebelum ini apabila Nurul Izzah buat pertama kali bercakap mengenai tawaran itu, dua menteri Umno iaitu Abdul Rahman Dahlan dan Khairy Jamaluddin segera tampil menafikannya," tulis Shahbudin Husin dalam blognya.

Menurutnya, Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan tawaran kepada Anwar yang empat kali berturut-turut kalah dalam pilihan raya umum, sambil meminta Nurul Izzah mengawal dirinya daripada terlalu "berdrama".

KJ pula, ulasnya mempertikaikan kenapa isu tawaran itu hanya didedahkan setelah dua tahun berlalu serta dalam masa yang sama mengatakan tawaran itu tidak memberi manfaat kerana Najib dan BN sudah pun cukup majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Secara logiknya, apabila Rafizi mengesahkan kebenaran tawaran itu dan mengatakan ianya turut dibincangkan dalam mesyuarat PKR, ia tentulah sesuatu yang benar dan boleh dipercayai," tulis Shahbudin lagi.

Ini, katanya kerana tidak mungkin Anwar membawa isu tersebut dalam mesyuarat PKR jika tiada tawaran atau beliau sekadar mereka-reka cerita saja.

Tambahnya, sudah tentu juga PAS dan DAP tidak tahu menahu mengenai tawaran itu kerana ia hanya khusus dibuat kepada Anwar dan PKR saja.

Baginya, walaupun Abdul Rahman Dahlan mengatakannya sebagai drama dan KJ pula mendakwa tawaran itu tidak memberi manfaat kepada BN dan Najib, hakikatnya logiknya tawaran itu memang boleh diterima.

Menurut Shahbudin lagi, kalau KJ mengatakan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Anwar sebagaimana yang didedahkan oleh Nurul Izzah itu tidak bermanfaat kepada Najib, beliau barangkali belum cukup arif tentang tradisi dalam Umno.

Beliau berpendapat, Najib sendiri jika mencapai majoriti dua pertiga dalam pilihan raya lalu, pasti tidak muncul suara-suara yang memintanya berundur dan meletakkan jawatan sebagaimana sekarang.

"Tetapi sementara semua ini menjadi bualan dan teka-teki ramai, Najib sebagai pihak yang didakwa membuat tawaran itu wajar segera tampil menjelaskan kedudukan sebenarnya," ujarnya lagi.

Katanya lagi, semua ingin tahu kebenarannya.

"Ahli Umno ingin tahu benarkah tawaran itu pernah dibuat? Rakyat lagilah ingin tahu apakah kerana tawaran itu ditolak menjadi sebab Anwar menghuni penjara ketika ini?" soal beliau

Bagi beliau, tentunya juga yang paling ingin tahu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sudah hampir seminggu sejak Nurul Izzah mendedahkannya dan kini disahkan pula oleh Rafizi, Najib tidak perlu menunggu lebih lama lagi untuk memberi pencerahan mengenainya," tulis beliau selanjutnya. - HARAKAHDAILY 17/2/2015

Share on Myspace