Gembira cuti Tahun Baru Cina diganti risau sambut GST

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Tahun Baru Cina 2015 adalah hari peristiwa yang disambut baik oleh semua rakyat Malaysia.

Kaum Tionghua meraikannya sebagai adat dan budaya untuk menyambut kedatangan musim bunga yang dipercayai membawa kemakmuran.

Kaum lain-lain di Malaysia pula menyambutnya sebagai hari cuti umum yang boleh dihabiskan bersama keluarga dan anak-anak yang turut cuti sekolah.

Namun, bagi kebanyakan rakyat, kegembiraan ini akan diganti dengan kerisauan mengenai cabaran menangani kos hidup, kerana dalam 40 hari lagi mereka akan melangkah masuk ke dalam zaman GST.

Kerajaan telah memberikan pelbagai janji dan jaminan bahawa GST tidak akan menyebabkan kos sara hidup meningkat secara mendadak. Bahkan, kata kerajaan, ada harga barangan yang bakal menurun.

Persoalannya ialah setakat mana rakyat akan percaya pada jaminan dan janji kerajaan ini setelah gagalnya kerajaan menurunkan harga barangan meskipun harga minyak telah diturunkan sebanyak 60 sen sejak September 2014.

Lebih teruk lagi, kegagalan itu mendorong seorang menteri untuk memainkan isu perkauman dengan panggilan boikotnya – yang pada pemikiran simplisistiknya, akan menyelesaikan masalah harga barangan tidak turun.

Kini, harga minyak pasaran mulai pulih, dan menurut pemimpin veteran Umno Tun Daim Zainuddin, harga minyak akan pulih ke US60-US75 menjelang Jun.

Jika begitu, berapakah sen yang bakal dinaikkan oleh kerajaan kepada harga minyak RON95 sekarang yang bernilai RM1.70 sen seliter?

Apakah kerajaan sudah ada mekanisme untuk menghalang para peniaga daripada menggunakan alasan itu untuk menaikkan harga barangan yang sudahpun tinggi hari ini?

Perlu diingatkan bahawa laporan “2H2014 Economic Outlook: External Positives Amidst Domestic Challenges” telah menyatakan inflasi meningkat dua kali ganda sekurang-kurangnya dalam dua tahun pertama GST mula dilaksanakan di Australia, China dan Singapura.

Apakah kerajaan sudah membuat jangkaan nilai inflasi dan kesannya kepada rakyat sekiranya harga minyak naik mendadak pada bulan Mac 2015 disusuli dengan GST dilaksanakan pada 1 April 2015?

Dengan prestasi kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak, rakyat Malaysia tidak perlu terkejut jika tiba waktunya kerajaan nampak tidak bersedia.

Ia tiada beza dengan masa lama yang diambil PM untuk membentangkan Bajet 2015 yang baharu meskipun beliau telah diberi pelbagai amaran dan teguran untuk membuatnya lebih awal kerana Bajet 2015 sudah tidak relevan ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Di sesi parlimen yang akan bermula 9 Mac ini, saya menggesa para ahli parlimen Pakatan Rakyat akan bersama mendesak kerajaan untuk menyatakan pelannya untuk mengawal harga barangan sempena kenaikan harga minyak dan GST, atau mendesak perlaksanaan GST ditangguhkan dan dibatalkan untuk mengurangkan penderitaan rakyat marhaen.

Saya juga ingin menggesa rakyat terus bersatu-padu menuntut pembaharuan dan memberi tekanan kepada kerajaan memerintah agar suara dan hak mereka sentiasa diberi perhatian dan dijaga pada tahun GST ini.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina, Selamat Bercuti dan berhati-hati di jalan raya. - HARAKAHDAILY 18/2/2015 

Naib Presiden PAS
18 Februari 2015

Share on Myspace