'Road show' fitnah 2: Khairy perlu lebih berhati-hati

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Hasrat Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin membuat 'road show' fitnah 2 amat sempit dan membahayakan masa depan negara, kata Presiden Abim, Amidi Abd Manan.

Beliau menyatakan demikian meruju kepada laporan berkaitan hasrat Pemuda Umno untuk membuat 'road show' fitnah 2.

Hasrat itu, katanya dilaporkan dalam laporan beberapa media arus perdana dan portal berita.

"Ia disebut dalam ucapan ketika majlis penerangan dan taklimat kes yang disampaikan oleh Tan Sri Shafee Abdullah seorang peguam kanan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Abim, katanya amat menghormati Khairy Jamaludin sebagai seorang pemimpin muda Umno yang bijak, berkaliber dan berfikiran terbuka.

Beliau berkata, Khairy juga tegas dalam mengemukakan pandangan dan sentiasa cuba untuk mengelak kenyataan yang bersifat peribadi.

"Dalam hal ini, hasrat beliau selaku Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia amat sempit dan membahayakan masa depan negara. Langkah ini adalah langkah 'perbicaraan di luar mahkamah'," kata beliau.

Menurutnya, perbicaraan di luar mahkamah mengundang ulasan-ulasan liar.

Katanya, jika Pergerakan Pemuda Umno memulakannya, sudah tentu nanti ada pihak lain yang akan bangkit menjawab dan melakukan majlis yang serupa.

"Perkara ini secara jelas berupaya menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman negara. Perbicaraan di luar mahkamah akan berlangsung secara liar, tanpa etika dan keterlaluan," ujarnya lagi.

Tambahnya, mungkin akan berlaku tambahan-tambahan fakta secara semberono dan mengelirukan masyarakat.

"Selain dari itu, beliau juga seharusnya peka dengan perkembangan kelompok yang mula muak dan hilang kepercayaan kepada sistem perundangan negara," katanya.

Ini, kata beliau terbukti apabila sebuah video dimuatnaik baru-baru ini dengan ugutan mahu memusnahkan mahkamah.

Bagi belau, seharusnya sebagai seorang pemimpin muda Khairy perlu lebih berhati-hati, berpandangan jauh dan bertanggungjawab.

"Tindakan ini sekaligus membuktikan bahawa jawapan balas pihak pendakwa yang menolak teori konspirasi politik, dan mahkamah telah pun menerima hujah pihak pendakwa dalam penghakimannya tidak mencukupi," ujar lagi. - HARAKAHDAILY 18/2/2015

Share on Myspace