Gangguan bekalan akibat kualiti air mentah merosot

HARAKAHDAILY | .

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah mengurangkan pengeluaran air terawat mulai pada 15 Februari 2015 setelah operator loji mengesan terdapat kemerosotan kualiti air mentah di mana tahap keasidan yang rendah dengan kewujudan manganese dan ammonia melebihi had piawai yang dibenarkan.

Demikian dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib dlam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, krajaan negeri melalui Pasukan Petugas Pencemaran Sumber Air diketuai oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan operator loji Semenyih iaitu ABASS telah mengambil tindakan menyiasat punca-punca yang menyebabkan pencemaran tersebut.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kemerosotan kualiti air mentah tersebut disumbangkan oleh kilang yang terletak di kawasan Sungai Purun, Semenyih di mana kilang tersebut tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pihak JAS telah mengambil tindakan menutup operasi kilang tersebut.

Pada masa yang sama, ujarnya LUAS dan JAS masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca-punca lain yang menyumbang kepada pencemaran air mentah tersebut.

Beliau menjelaskan, Loji Semenyih telah beroperasi sepenuhnya seperti biasa pada 16 Februari 2015, jam 3.00 pagi.

Katanya, kejadian pencemaran sumber air mentah ini telah menyebabkan pengurangan pengeluaran dari Loji Rawatan Air Sungai Semenyih hingga menjejaskan bekalan air terawat kepada pengguna yang melibatkan 135,000 akaun di kawasan Petaling Jaya bermula pada 15 Februari 2015.

Status terkini, jelasnya setakat 18 Februari 2015 (Selasa), jam 6.00 pagi, 97.5% kawasan yang terjejas telah mendapat bekalan air terawat semula.

Katanya, kawasan yang masih lagi terjejas adalah kawasan Bandar Puteri Puchong (50% telah pulih) dan Puchong Hartamas (75% telah pulih).

Justeru, beliau meminta semua pengguna bekalan air bekerjasama untuk menggunakan air secara berhemah bagi membantu mempercepatkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas.

Meuut Zaidy, Loji Semenyih sebelum ini pernah ditutup disebabkan pencemaran air mentah yang berpunca dari tapak pelupusan sampah Pajam.

Katanya, hasil daripada pelbagai rundingan antara agensi, Kerajaan Negeri Selangor dimaklumkan bahawa tapak pelupusan sampah Pajam, Negeri Sembilan, ini akan ditutup bermula pada 1 Mac 2015.

"Dalam usaha untuk memastikan kualiti air mentah tidak terjejas, Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi seperti LUAS, JAS dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas seperti menutup dan menyita mana-mana industri sekiranya didapati ia menyumbangkan kepada pencemaran air mentah," ujar beliau.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri Selangor amat kesal di atas insiden yang berlaku dan sangat bersimpati kepada rakyat Selangor yang menghadapi masalah bekalan air, tambahan pula dalam suasana menghadapi sambutan perayaan Tahun Baru Cina sekarang ini. - HARAKAHDAILY 18/2/2015

Share on Myspace