Gerak kerja Umno di lokasi banjir tidak ketara

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Hasrat Umno mahu menyelesaikan masalah banjir berbanding menyertai pilihan raya kecil (PRK) Dun Chempaka dianggap tidak setimpal dengan gerak kerja parti itu sekarang.

Ini kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) dilihat jauh ketinggalan berbanding kesungguhan NGO dan jentera Pakatan Rakyat membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Timbalan Presiden Pertubuhan R Kelantan Abdul Shakur Sharie berkata mangsa banjir belum melihat kesungguhan jentera Umno/BN membantu mereka.

“Masih belum kelihatan dengan ketara. Sumbangan Umno masih terlalu kecil atau tidak memadai berbanding kesangsaraan yang dihadapi mangsa-mangsa banjir.

“Umno/BN seharusnya menggerakkan jenteranya di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kerana sumber kewangan mereka tidak terbatas.

“Namun sehingga sekarang di mana-mana sahaja kami pergi di kawasan terjejas teruk belum kelihatan jentera Umno berada di lokasi,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata BN tidak perlu meletak calon pada PRK Dun Chempaka bagi membolehkan tumpuan diberi kepada membantu mangsa-mangsa banjir.

Abdul Shakur berkata sekiranya alasan itu benar-benar dijadikan sebab, Umno/BN perlu mengotakannya kerana lebih 2,000 mangsa terjejas teruk di mana kediaman mereka perlu dibina segera.

“Kami yakin dan percaya sekiranya kekuatan Umno/BN digunakan sepenuhnya ia berupaya membina rumah baru berjumlah 1,000 dan cukup untuk membaiki kerosakan 100,000 rumah.

“Lagi pun setiap kali kempen pilihan raya Umno turut dibantu seluruh agensi kerajaan pusat. Sekiranya segala jentera tersebut dikerah sudah tentu dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi mangsa banjir lebih cepat,” ujarnya.

Menurutnya Pertubuhan R juga mengingatkan kerajaan pusat dan Umno mematuhi Akta Pembangunan Petroliam 1974 dan perjanjian royalti yang ditandatangani 9 Mei 1975.

Katanya, ia adalah satu penghormatan tinggi dan ikhlas bukan sahaja terhadap Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebaliknya kepada 1.6 juta rakyat Kelantan.

“Umno/BN boleh mengambil kesempatan sekarang untuk mengarahkan Petronas membayar royalti petroliam kepada Kelantan yang kini dianggarkan lebih RM13 billion,” katanya. - HARAKAHDAILY 18/2/2015

 

Share on Myspace