Pasca banjir: Beza kerajaan Kelantan dengan Pahang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Pahang kesal dengan sikap kerajaan negeri yang langsung tiada sebarang perancangan bagi mengganti atau membaik pulih rumah rakyat yang musnah dalam tragedi banjir lalu.

"Keadaan ini amat berbeza dengan kerajaan Kelantan yang bertungkus lumus membina dan menyiapkan perumahan rakyat," ujar Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Bahkan, katanya tidak kedengaran sebarang pelan baru bagi membaik pulih kerosakan yang ada.

"Sepanjang lawatan pemimpin PAS Pahang ke setiap daerah yang dilanda banjir, kami mendapati berpuluh buah rumah yang musnah termasuk Pondok Pengajian dibiarkan begitu sahaja," ujar beliau yang juga Naib Presien PAS.

Menurutnya, tragedi banjir tahun 1970 dan 1971 menyaksikan pelbagai program penempatan banjir disediakan oleh kerajaan bahkan sebahagian mereka dimasukkan ke tanah rancangan Felda bagi menyelesaikan permasalahan penduduk di sepanjang sungai Pahang.

Namun kali ini, ujar beliau kerajaan negeri seolah-olah berlepas tangan sehingga peranan NGO lebih ketara di saat banjir atau selepasnya.

Menurutnya, fokus BN dan media nampaknya hanya di Kelantan, tapi negeri sendiri terus tidak diberi perhatian. - HARAKAHDAILY 18/2/2015

Share on Myspace