PAS ada ramai calon pertahan Dun Chempaka

| .

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan meneruskan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) walaupun bertembung dengan tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka.

Persidangan Dun ditetapkan pada 16 hingga 19 Mac manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon PRK N.06 Dun Chempaka pada 10 Mac dan hari mengundi pada 22 Mac.

Timbalan menteri besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun sidang Dun agak mengganggu tempoh berkempen namun ia perlu diteruskan kerana sudah ditetapkan.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa terkilan kerana SPR tidak merujuk kerajaan negeri bagi menetapkan tarikh PRK.

"Sepatutnya SPR merujuk kerajaan negeri terlebih dahulu bagi mengetahui program penting sepanjang Mac di Kelantan.

“Tarikh persidangan Dun 16 hingga 19 Mac sudah lama ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim, hari ini.

Ditanya mengenai calon, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata parti itu mempunyai ramai calon untuk mempertahankan kerusi tersebut.

“Ada ramai yang layak bertanding namum begitu kita belum tentukan lagi sekarang,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai Umno Kelantan yang dilihat kurang berminat menyertai PRK tersebut.

“Saya tak nak ulas lagi pasal itu. Kita tunggu 10 Mac betul atau tidak Umno tak nak bertanding,” katanya. - HARAKAHDAILY 18/2/2015

Share on Myspace