Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz? (Bhg 2)

| .

DALAM sebuah artikel bertajuk Well Connected at Home, Young Malaysia Has an Appetite for New York’ (The New York Times, 8 Februari 2015) penulisnya, Louise Story dan Stephanie Sual mendedahkan, antara lain, urusniaga pembelian kondominium mewah oleh Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, mengunakan dana yang diragui sumbernya. Selanjutnya, akhbar terkemuka di Amerika itu merungkai hubung-kait di antara seorang rakyat Malaysia yang mendakwa dirinya seorang pakar kewangan dan ‘rakan intim’ keluarga pertama Malaysia, bernama Low Taek Jho (Jho Lo) dengan sebuah syarikat dana daulat milik kerajaan Malaysia, 1MDB, sekumpulan pelabur-pelabur antarabangsa, khasnya dari Timur Tengah, dengan keluarga pertama Malaysia. Dalam kata mudah: hubungan itu berbau skandal.

Pendedahan memberi pencerahan tentang hal ehwal syarikat 1MDB - apa jenis perniagaannya, bagaimana ia beroperasi dan untuk kepentingan siapa ia wujud. Selama ini, tidak banyak yang diketahui mengenai 1MDB kerana hal ehwalnya dirahsiakan. Semoga pendedahan TNYT meredakan pelbagai spekulasi tidak berasas khasnya yang dikaitkan dengan perdana menteri. Terima kasih TNYT.

Artikel mengenai  'LowTaek Jho, 1MDB dan Keluarga Pertama Malaysia’ melibatkan beberapa siri.  Fokus siri awal ini ialah mendedahkan pelaburan dalam hartanah mewah di Amerika dan hubung-kaitnya dengan keluarga pertama Malaysia. Isu-isu lain berkaitan hubung-kait Jho Lo, 1MDB dan keluarga pertama Malaysia yang dirungkai akhbar TNYT akan didedahkan dalam siri seterusnya.

Sepertimana yang didedahkan oleh TNYT, pelaburan Riza Aziz dan Jho Lo dalam hartanah mewah di Amerika berjumlah USD81.55 juta atau RM290.48 juta (USD1.00 = RM3.5620). Bagi rakyat Malaysia jumlah ini amat besar, boleh dibina 2,905 unit rumah kos rendah berkualiti (RM100,000 se unit).

Dalam hal pembelian hartanah ini, kaedah yang digunakan ialah mula-mula, Jho Lo akan membeli dahulu hartanah berkenaan. Beberapa tahun kemudian barulah hartanah itu dijual atau dipindahmilik kepada Riza Aziz, tentunya pada harga yang memberikan keuntungan cukup lumayan kepada Jho Lo.

Berikut ialah urusniaga hartanah melibatkan Jho Lo dan Riza Aziz yang didedahkan oleh TNYT.

Pertama, pada awal tahun 2010, Jho Lo membeli se unit apartmen di Park Laurel Condominium di Manahattan, New York  pada harga USD23.98 juta.  Pemilikan unit itu adalah di atas nama sebuah syarikat kosong (shell company) milik beliau sepenuhnya. Jho Lo mendakwa, apartmen dibeli bagi pihak wang amanah keluarga beliau.

Tiga tahun kemudian (2013), unit itu dijual kepada sebuah syarikat kosong yang lain milik Riza Aziz, seorang pembikin filem, pada harga USD33.5 juta. Bermakna, Jho Lo mengaut keuntungan USD9.52 juta (RM33.9 juta) atau 40%.

Wang yang digunakan oleh Riza Aziz untuk membeli kondominium berkenaan datangnya dari sebuah syarikat kosong, Sorcem Investments, yang berdaftar di British Virgin Island. Riza Aziz seorang sahaja menjadi pengarah syarikat. Bermakna, syarikat ini adalah syarikat luar pantai yang biasanya dikaitkan dengan orang-orang kaya melari dan menyorokkan wang.

Menurut TNYT, Riza Aziz mengaku hartanah di Park Laurel itu memang miliknya.

Kedua, sekitar masa yang sama, Jho Lo membeli pula sebuah mansion di Beverly Hills, Hollywood berkeluasan 11,573 kaki persegi  pada harga USD17.5 juta. Hartanah ini didaftarkan di bawah sebuah syarikat kosong, 912 North Hillcrest Road (BH) LLC,milik Jho Lo. Dia mendakwa biayanya datang dari wang amanah keluarga beliau.

Jho Lo kemudian menjual syarikat kosong yang memiliki hartanah berkenaan kepada sebuah entiti korporat dikuasai Riza Aziz. Ini bermakna, dari segi undang-undangnya, pemilikan hartanah di Beverly Hill itu tidak bertukar tangan. Ia kekal dalam milik syarikat kosong, 912 North Hillcrest Road (BH) LLC.

Riza Aziz juga mengaku hartanah di Beverly Hill itu adalah juga miliknya. Hartanah ini sedang diubahsuai melibatkan kos jutaan USD.

Kemudian,  pada awal tahun 2011, Jho Lo membeli se unit penthouse yang asalnya milik pasangan Jay Z dan Beyonce di tingkat 76, Time Warner Center Condominiums di New York pada harga USD30.55 juta dan kali ini mendakwa beliau membelinya bagi pihak pelabur-pelabur. Dia memilih lokasi berkenaan kerana ramai rakan-rakan pelabur beliau memiliki unit di situ. Menurut TNYT, seorang ternama dari Malaysia - saudara kandung Syed Mohktar al-Bukhary - juga memiliki unit di situ.

Jho Lo kemudian menukar fikiran,  menyatakan bahawa unit itu dibeli bukan bagi pihak pelabur tetapi milik wang amanah keluarga beliau.

Penyiasatan oleh TNYT kemudian mendapati unit didaftarkan dalam nama syarikat kosong milik penuh beliau, 80 Columbus Circle (NYC) LLC. Tidak seperti amalan biasa, unit ini belum lagi dijual atau dipindah milik kepada Riza Aziz.

Penyiasatan oleh TNYT mendapati bahawa tidak kurang daripada 12 unit condominium di Time Warner Center itu dimiliki oleh orang yang menjadi proksi kepada pemimpin-pemimpin tinggi kerajaan asing - masih berkuasa mahupun yang telah tidak lagi berkuasa yang merupakan pemilik sebenar.  Ada pula unit-unit yang didaftar terus di atas nama pemilik sebenar, iaitu, pemimpin-pemimpin tertinggi negara asing itu sendiri.

Semua pembelian hartanah oleh Jho Lo dibayar secara tunai.

Pembelian unit hartanah mewah oleh Jho Lo menimbulkan pertanyaan: Dimanakah beliau memperolehi wang yang begitu besar jumlahnya?

Jawapan biasa yang terkeluar dari mulut beliau ialah saya membelinya 'bagi pihak pelabur-pelabur' dan kadang kala beliau berkata, 'saya membelinya bagi pihak kawan-kawan'. Yang mutakhir beliau menyebut hartanah dibeli bagi pihak 'wang amanah keluarga beliau'. Yang mana satu betul?

Di mana pula Riza Aziz memperoleh dana untuk membeli hartanah dari Jho Lo?. Beliau mendakwa  bahawa beliau memang seorang yang sudah sedia kaya tetapi apabila ditanya bagaimana beliau menjana kekayaan itu, beliau terkedu.

Riza Aziz pernah bekerja dengan HSBC tetapi sebagai pegawai berpangkat rendah yang tidak memungkinkan beliau menjadi kaya raya segera. Satu kenayataan dari Jabatan Perdana Menteri Malaysia menyatakan 'Perdana Menteri tidak memantau berapa pendapatan Riza Aziz dan bagaimana dia melaburkan pendapatan beliau'.

Maklumat yang diperolehi TNYT dari seorang ahli lembaga kondominium di Time Warner Center dan seorang lagi yang mempunyai maklumat mengenai urusan jual beli berkenaan memberi keyakinan bahawa Jho Lo membeli unit di situ bukan untuk dirinya tetapi untuk pelabur-pelabur. Salah seorang dari pemberi maklumat ini masih ingat kata-kata Jho Lo bahawa 'seorang pelabur utama adalah keluarga Perdana Menteri Najib'.

Jabatan Perdana Menteri Malaysia telah mengeluarkan kenyataan kepada TNYT menegaskan bahawa Perdana Menteri Najib tidak ada sebarang kepentingan kewangan mahu pun sebarang surat perjanjian  berkaitan pelaburan di dalam unit kondominium di Time Warner Center. Jho Lo pula mengulangi dakwaan bahawa unit berkenaan dimiliki oleh 'wang amanah keluarga beliau'.

Penulis rencana, Louise Story dan Stephanie Sual percaya bahawa 'kemewahan' Jho Lo itu ada kena mengena dengan hubungan beliau yang begitu imtim dengan ahli keluarga pertama Malaysia. Hubungan itu dikesan sejak Jho Lo mula-mula belajar di London.

Semasa belajar di London, Jho Lo berkawan rapat dengan Riza Aziz yang ketika itu belajar di London School of Economics. Ibaratnya, sudah menjadi adik beradik. Beliau juga kenal rapat dengan ibu Riza, Rosmah Mansor,  yang kerap menginap - kadang-kadang sampai berbulan-bulan - di sebuah apartmen di London. Ibaratnya, sudah menjadi ibu kandung sendiri. Hubungan beliau dengan keluarga Perdana Menteri sehingga kini tidak pernah renggang.

Dari keakraban itu, Jho Lo mendapat kabel terus ke perdana menteri. Jho Lo diberi ruang memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan membawa pelaburan dari Timur Tengah ke Malaysia dan yang terkini beliau membantu dalam penubuhan dana daulat milik kerajaan Malaysia yang majlis penasihatnya di pengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia. Jho Lo terus memberi nasihat kepada dana daulat berkenaan, 1MBD. Mungkin, yuran yang diperoleh dari "consultancy and advisory service" itulah yang menjadi sumber kekayaan beliau. Namun, Jho Lo tidak pernah menyebut hal ini sebagai sumber kekayaan beliau. Malah, beliau mendakwa kerja-kerja yang berkaitan 1MDB yang beliau jalankan adalah percuma.

Dalam satu temuduga dengan The Wall Street Journal pada musim luruh tahun 2014, Jho Lo menyatakan keluarganya mewarisi USD1.75 bilion harta pesaka dari datuknya yang menjadi kaya raya hasil pelaburan dalam industri perlombongan dan perniagaan arak di Thailand. Sahihkah dakwaan ini?

Perlu dinyatakan bahawa peraturan berkaitan urusniaga hartanah di Amerika Syarikat memang tidak menghendaki pembeli mendedahkan secara terperinci sumber kewangan. Oleh itu, pelbagai pihak yang terlibat dalam urusiniaga hartatanah seperti broker hartanah, bank-bank, firma guaman dan sebagainya tiada maklumat penuh mengenai sumber kewangan pelanggan.

Pelbagai organisasi anti-rasuah antarabangsa telah mengkritik kelonggaran ini kerana ia memberi ruang lebar kepada golongan yang memakan rasuah di seluruh dunia membersihkan “wang kotor” mereka di Amerika dengan melabur di sektor hartanah. Charmian Gooch, pengerusi dan pengasas Global Witness, sebuah badan bukan kerajaan menentang rasuah, misalnya, mempersoalkan kelonggaran ketara ini. Sepatutnya pelabur disoal kenapa mereka membawa berjuta-juta USD ke Amerika dan dari mana wang itu diperolehi. 

Bahawa Jho Lo adalah rakan intim, malah, dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga pertama Malaysia dan sifat percaya mempercayai antara satu sama lain sudah terbina sekian lama. Maka, adalah sukar untuk sesiapa menafikan bahawa Jho Lo adalah proksi yang paling dipercayai oleh keluarga pertama Malaysia. Bahawa pelaburan yang dibuat di atas nama beliau itu sebenarnya milik keluarga pertama Malaysia juga sukar dipertikaikan. Persolannya: Dari sumber manakah keluarga pertama Malaysia memperoleh kekayaan yang begitu besar? Walhal gaji tahunan Perdana Menteri Malaysia hanya sekitar USD100,000 setahun. Dalam satu kenyataan dari Jabatan Perdana Menteri ada dinyatakan bahawa "Perdana Menteri ada mewarisi harta pesaka" ("As for the prime minister... he had received inheritance"). Namun, harta pesaka itu tidak mungkin bernilai terlalu besar kerana bapa beliau pun Perdana Menteri seperti beliau juga dahulu.

Jawapan yang lebih meyakinkan ialah: Kalau tidak dari sumber yang “kotor,” dari mana lagi? Wang ini 'dibersihkan' dengan melabur dalam hartanah di Amerika. Mudah, sumber wangnya tidak dipersoalkan. MLA (Money Laundering Act) tidak terpakai. - HARAKAHDAILY 19/2/2015 

Share on Myspace